Ad

Wednesday 29 January 2014

Tangani segera masalah PBS

 Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
 
MUHYIDDIN Yassin menyampaikan pingat kecemerlangan kepada Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil, Datuk Marina Chin pada Amanat Tahun Baharu 2014 kepada warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Idris Jusoh (dua dari kiri) dan Mary Yap (empat dari kiri). - utusan/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA 28 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui menerima banyak maklum balas dan keluhan terutamanya daripada para guru mengenai sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, berikutan itu Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof telah diarah mengenal pasti masalah di peringkat pelaksanaan.

''Pada masa sama, saya menjangkakan ketelusan dalam pelaporan dan tidak berlaku ketirisan. Saya pasti keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya setiap peringkat sama ada di sekolah, jabatan atau jabatan pelajaran negeri mempunyai pemahaman yang sama berhubung pelaksanaan PBS.

''Sekiranya masih terdapat kesamaran mengenai perkara ini, saya meminta ia ditangani segera terutamanya untuk mencerahkan pemahaman guru-guru yang akan melaksanakan PBS," katanya ketika berucap menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2014 kepada warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, Muhyiddin berkata, Kementerian Pendidikan sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pertambahan 10,000 jawatan pembantu pentadbiran untuk meringankan beban guru.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pendidikan prihatin dengan beban kerja guru dan salah satu cara untuk mengurangkan beban mereka ialah mewujudkan 10,000 petugas untuk membantu kerja-kerja perkeranian di sekolah.

'Sistem persekolahan tidak kira di mana pun pasti ada cikgu yang jaga kokurikulum, disiplin dan lain-lain. Di Malaysia, kita kaji sepanjang masa supaya mereka boleh menumpu lebih banyak perhatian kepada kerja mengajar," katanya.

Muhyiddin pada tahun lalu mengumumkan sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah-sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru di sekolah.

Mengenai permohonan untuk berpindah sekolah pula, Muhyiddin berkata, beliau memahami keperluan guru terutama mereka yang ingin tinggal bersama ahli keluarga atau menjaga ibu-bapa, tetapi pertukaran tempat mengajar hanya boleh dilakukan berdasarkan kekosongan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, di bawah pencapaian ketujuh PPPM, kualiti guru pelatih yang diambil telah ditingkatkan secara ketara.

''Sebanyak 70 peratus pengambilan Institut Pendidikan Guru yang sedang mengikuti latihan mendapat lima A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Mengenai penempatan graduan pendidikan, Muhyiddin berkata, mereka yang tamat pengajian sebelum Ogos 2013 akan ditempatkan selewat-lewatnya Mac ini.

''Sebahagian graduan yang tamat pengajian selepas September pula akan ditempatkan mengikut kekosongan selepas bulan Mac," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140129/dn_01/Tangani-segera-masalah-PBS#ixzz2rmlKM5Qp © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment