Ad

Monday, 27 January 2014

Perak peraga rentak 120 peratus

 
Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

SKUAD Perak yang rata-ratanya dibarisi pemain muda semakin bersemangat bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

KETUA jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim memuji semangat juang yang ditampilkan barisan pemainnya selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

Abu Bakar atau mesra dengan panggilan Burn menyifatkan para pemainnya menampilkan aksi 120 peratus dalam menyekat misi Sang Penyu untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Beliau berkata, dalam tiga perlawanan yang ditempuhi setakat ini, anak-anak buahnya telah bermain bermati-matian bagi menjelmakan kemenangan.

“Para pemain telah bermain dengan keupayaan tinggi iaitu pada tahap 120 peratus,” kata Abu Bakar pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.

“Rata-rata pemain saya letih selepas mereka terpaksa bermain selama 120 minit ketika menentang Pahang (pada pusingan pertama Piala FA) beberapa hari lalu.”

Tampil beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, skuad The Bos Gaurus memastikan tiga mata menjadi milik mereka apabila penyerang import dari Brazil, Eliel da Cruz meledak gol pada masa kecederaan babak kedua.

“Saya lihat Terengganu bermain baik apabila berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Bagaimanapun, Perak akhirnya memperoleh kemenangan hasil jaringan Eliel da Cruz pada penghujung perlawanan,” tambah Abu Bakar.

Abu Bakar berkata, walaupun Perak turun tanpa tonggak import, Martin Kafando, barisan pertahanan muda berjaya mengekang dua penyerang import Terengganu - Marcio Souza da Silva dan Mamadou Hady Barry serta ayam tambatan, Mohd. Norfarhan Muhammad.

“Saya rasa pemain tempatan muda kita telah menjalankan tugas dengan baik dengan disiplin tinggi walaupun melakukan beberapa kesilapan yang hampir menghadiahkan gol kepada pasukan lawan.

“Sebelum perlawanan, saya bimbang moral para pemain turun selepas mereka bermain dengan cemerlang ketika menentang Pahang, Selasa lalu.

“Namun, sangkaan saya itu meleset apabila melihat semangat mereka tidak berbelah bagi dalam menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setia Perak,” katanya.

Kejayaan itu juga setidak-tidaknya mampu menutup mulut para pengkritik buat seketika yang sebelum ini melabelkan Perak sebagai pasukan belasahan.

“Berhubung perkara itu (dilabel pasukan belasahan) kami sendiri tidak boleh jawab tetapi biarlah para pemain membuktikan di padang,” ujarnya.

Sumber KOSMO  ONLINE 27.1.14

No comments:

Post a Comment