Ad

Friday, 31 January 2014

Kim Swee: Masih ada tugas yang belum selesai


 

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
KIM SWEE (kiri) menyambut Tahun Baru Cina secara sederhana kerana persiapan pasukan tetap menjadi keutamaannya.

SAMBUTAN Tahun Baru Cina kali ini pastinya ditunggu-tunggu pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.

Menurut Kim Swee, beliau telah mula bercuti di kampung halamannya di Melaka semalam dan anak-anak buahnya hanya akan kembali menjalani latihan Ahad ini.

“Saya kini sudah bersama keluarga di Melaka dan pemain juga telah dilepaskan bercuti.

“Di kesempatan ini, saya juga mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada kesemua peminat Harimau Muda yang menyokong perjuangan kami selama ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun jelas Kim Swee, beliau dan anak-anak buahnya tidak akan ‘beraya sakan’ memandangkan masih ada tugasan getir mengharumkan nama negara di temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

“Raya pun raya juga, tetapi masih ada tugas yang belum selesai.

“Selain temasya Sukan Asia, kami juga perlu bersedia mengharungi saingan Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane selama lima bulan bermula Mac depan.

“Jadi, saya harap kesemua pemain Harimau Muda A dapat mengekalkan kecergasan masing-masing sebelum kembali menjalani latihan Ahad ini,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga ingin melupakan kekecewaan selepas gagal mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Myanmar tahun lalu.

“Mana-mana jurulatih pastinya kecewa dengan kegagalan tetapi ia akan dijadikan pembakar semangat untuk melakar kejayaan yang lebih bermakna pada masa depan.

“Saya juga berharap sambutan Tahun Baru Cina kali ini membawa tuah buat skuad Harimau Muda A pada temasya Sukan Asia kelak,” katanya yang turut mendapat kepercayaan sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya ketika ini.

KOSMO ONLINE 31.1.14

No comments:

Post a Comment