07 Disember 2016 6:06 PM
Mat ucap tahniah kepada Mohd. Faiz Subri kerana jaringan uniknya berjaya berada dalam kelompok tiga gol tercantik dunia untuk tahun 2016. Kini pemain Pulau Pinang itu memerlukan undian kita untuk membantu jaringannya dipilih sebagai yang terbaik daripada yang terbaik dan menerima Anugerah Puskas.
Mat Sport
Mat melihat peminat bola sepak seluruh dunia sangat profesional dalam memilih pemenang Anugerah Puskas. Tahun lalu pemain tidak ternama dari Brazil, Wendell Lira diundi sebagai pemenang. Tahun ini nampaknya begitu juga.
Pengundi tidak terpengaruh dengan populariti dan buktinya Lionel Messi tidak dipilih ke dalam senarai tiga calon akhir. Malah Mat berasakan jaringan Messi itu tidak sepatutnya berada dalam senarai sepuluh terbaik kerana biasa dilakukan oleh pakar-pakar sepakan bebas. Lagi pun entah berapa puluh gol Mat telah lihat dijaringkan oleh bintang Argentina dan Barcelona itu sendiri dengan gaya itu... jadi tiada apa yang istimewa dalam sepakannya itu.
Mat melihat pesaing terdekat kepada jaringan Faiz pada Februari lalu itu adalah gol yang dijaringkan oleh Daniuska Rodriguez. Mat bukan memilih jaringan pemain dari Venezuela itu kerana dia remaja perempuan tetapi anda semua boleh lihat kualiti gol berkenaan.
Malah sebelum keputusan undian pusingan pertama diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, Mat telah katakan berkali-kali kepada rakan-rakan bahawa jaringan Rodriguez dan Faiz adalah calon utama untuk memenangi anugerah yang dinasabkan kepada legenda Hungary dan Real Madrid, Ferenc Puskas itu.
Tetapi Mat berasakan Faiz akan memenanginya. Bukan kerana Faiz orang Malaysia tetapi kerana jaringannya itu sememangnya unik, melebihi apa yang dilakukan oleh Roberto Carlos ketika Brazil menentang Perancis pada 1997.
Ini kerana Mat berpendapat sudut bola itu berpatah dari kiri ke kanan jauh lebih tajam daripada yang dirembat oleh bekas pemain pertahanan kiri Real Madrid itu.
Bagaimanapun Mat tidak melihat kalau pun Faiz menang nanti akan memberi kesan kepada kemajuan bola sepak tempatan. Satu gol cantik tidak akan memberi impak jika orang-orang berkepentingan tidak berusaha mengubah bola sepak Malaysia.
Yang Mat nampak ialah kejayaan Faiz setakat ini telah menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana cerita-cerita kegagalan skuad bola sepak kita dalam Piala AFF telah tenggelam.
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kejayaan-faiz-selamatkan-fam-1.417062#sthash.fYfxOQrs.dpuf
No comments:
Post a Comment