Ad

Saturday 24 December 2016

1.1 Sejarah Penerbitan Akhbar di Tanah Melayu 1876 – 1955.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Munculnya persuratkhabaran  di gugusan Kepulauan Melayu dan sejarah perkembangan selanjutnya adalah seiring dengan kehadiran orang-orang Eropah dan pengukuhan imperium Eropah di wilayah-wilayah rantau ini. Perkembangannya juga telah diperbolehkan oleh penyebaran seni percetakan di rantau ini.[1]  Menurut W.R.Roff, dari segi jumlah penerbitan pula “tidak kurang daripada 147 akhbar dan majalah yang diterbitkan di antara tahun 1876 hingga tahun 1941.”[2] Manakala penerbitan akhbar di Singapura pula didorong oleh “…perkembangan persuratkhabaran berbahasa Melayu di Jawa dan Sumatera pada tahun-tahun enam puluhan telah menarik minat orang Jawi Peranakkan yang cenderung dalam perusahaan percetakan.”[3] 

      Tentang tahap perkembangan persuratkhabaran Melayu pula, Roff telah membahagikan tahap perkembangan persuratkhabaran di Tanah Melayu kepada tiga tahap. Tahap pertama dengan terbitnya Jawi Peranakkan dalam tahun 1867 sehingga tahun 1906, tahap kedua antara tahun 1906-1925 dan tahap ketiga dari tahun 1926-1940-an.[4]

      Menurut Noriah Dermawan, pada abad ke 19 “…terdapat tidak kurang dari empat belas buah akhbar telah diterbitkan di Singapura, Pulau Pinang dan Perak…”.[5] Kegiatan penerbitan suratkhabar di dalam bahasa Melayu ini telah diusahakan oleh masyarakat Jawi Peranakkan atau Jawi Pekan yang beroperasi di kedua-dua  buah kota raya ini.[6] Di Singapura misalnya, terbitan surat khabar Jawi Peranakkan pada tahun 1876 dikatakan membuka era baru dalam kegiatan penerbitan suratkhabar di dalam bahasa Melayu. Ia kemudian diikuti oleh penerbitan akhbar, “…Nujumul Fajar, Shamsul Kamar dan Sekolah Melayu.[7]

Akhbar-akhbar lain yang diterbitkan oleh masyarakat Jawi Peranakkan di Pulau Pinang pada akhir abad ke-19 ialah “…Tanjung  Penegri (1894-5, Pemimpin Warta November 1895 dan Lengkongan Bulan (1900-1).”[8] Manakala di Perak golongan ini menerbitkan akhbar, “…Seri Perak pada bulan Jun 1893.”[9] Seri Perak merupakan “…akhbar pertama berbahasa Melayu yang bercorak umum yang pertama diterbitkan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.”[10] Dua buah akhbar lagi yang diterbitkan di Taiping, Perak ialah “…Jajahan Melayu pada tahun 1896 dan Warta Kerajaan Perak pada bulan Januari 1897.”[11]  Akhbar Bintang Timor diterbitkan di Singapura pada bulan Mac 1895.[12] Akhbar-akhbar yang terbit pada penghujung abad kesembilanbelas mempunyai, pekerja dan modal yang terhad, kandungan beritanya juga sedikit sahaja. Akhbar-akhbar ini juga banyak memuatkan berita tentang “…Parsi dan Turki…”.[13]

      Golongan  Jawi  Peranakkan  dan  Arab  dapat  menerbitkan akhbar kerana mereka merupakan   golongan  kaya  yang  memiliki modal dan berpendidikan tinggi. Tujuan penerbitan akhbar  pula  ialah  untuk  menjadi “alat menyebarkan  berita, buah-buah fikiran atau apa-apa  pengetahuan  lain  yang  berguna  untuk  para pembacanya.”[14] Oleh itu akhbar-akhbar ini  bersifat  popular  dan  memuatkan  makalah  yang  digemari oleh  pembaca  seperti cerita pendek bersiri, cerita dan adat serta syair dan pantun. Selain dari itu akhbar-akhbar ini juga menyiarkan berita atau pergolakan peristiwa yang terjadi dalam dan luar negeri bersama sedikit ulasan.[15]




              [1]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas, hlm.19.
              [2]W.R. Roff., Bibliography of Malay and Arabic Periodical Published in the Settkements and Peninsular Malay State 1876 – 1941,London Oxford, University, hlm.8.
              [3]ibid., hlm.57.
              [4]Nik Ahmad Hj. Nik Hassan, “The Malay Press”, JMBRAS, Vol. 36, 1 Mei 1963, hlm.62.
              [5]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an, Tesis jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1974, hlm.12.
              [6]Mohd. Sarim Hj. Mustajab, “Percetakan Melayu dan Suratkhabar di Taiping, Perak,” JEBAT, Bil.10, 1991, hlm.34.
              [7]ibid., hlm.34.
              [8]ibid.
              [9]ibid., hlm.31.
              [10]Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia,hlm.314.
              [11]ibid.
[12]Sebuah akhbar harian milik cina peranakan Song Sek Kum, Editornya  ialah  Song  Ong  Siang.  Akbar  rumi ini mengkritik perangai dan amalan adat pembesar-pembesar dan rakyat Melayu yang menghalang kemajuan.
              [13]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu ,hlm.13.
[14]W. R. Roff, Sejarah Suratkhabar Melayu, hlm.  8.

               [15] Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, Cheras, 2001, hlm.23.

No comments:

Post a Comment