Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
dan HARYATI KARIM
KISAH seorang pejuang berakhir
di medan peperangan, namun penamat dendangan seorang Biduan Negara bernama Tan
Sri SM Salim yang menutup hubungan dengan dunia tepat pukul 5.45 petang semalam
juga sebuah perjuangan paling dahsyat, biarpun menghembus nafas tenang di sisi
isteri dan anak-anak.
Setelah 18 tahun melawan
penyakit saraf yang dideritai, lima tahun bintang legenda itu mengisi sisa-sisa
hari tuanya bertemankan kerusi roda sehinggalah semalam. Pentas yang selama ini
menjadi saksi nadi perjuangannya bertukar menjadi perbaringan. Di situlah
Allahyarham menghitung hari, siang berganti malam, minggu berakhir bulan,
sehinggalah bertahun-tahun sepi daripada keriuhan dunia yang mengangkat namanya
sebagai ikon seni dan budaya bangsa selama ini.
Bersenjatakan rentak Melayu dan
lirik kata pedoman pelita zaman, beliau mengajar betapa indahnya menjadi bangsa
Melayu menerusi lagu-lagu dendangannya seperti Pasir Roboh, Seri Siantan, Bunga
Tanjung, Joget Kasih Bermula, Mohon Kasih, Selamat Tinggal Bungaku.
Lagu Pandang-Pandang
Jeling-Jeling, Satu, Apa Dah Jadi, Pantun Budi, Cinta Dulu Cinta Sekarang dan
Dulu Lain Sekarang Lain pula tidak ubah seperti nasihat daripada seorang bapa
kepada anak-anak bangsa.
Pedoman
Biar seribu tahun waktu
beredar, lagu-lagu beliau kekal menjadi khazanah bangsa, semerbak wangi di
setiap penjuru jiwa selama-lamanya.
“Kita telah kehilangan seorang
legenda. Artis muda harus menghargai orang seperti beliau. Arwah seorang yang
suka berjenaka dan paling tidak boleh dilupakan sampai hari ini ialah kata-kata
nasihatnya.
“Beliau menyatakan, setinggi
mana kita pergi, akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Oleh itu, sentiasalah
merendah diri. Saya akan pegang nasihatnya sampai mati.
“Selepas berduet lagu Satu dan
Putih Tetap Putih, kami selalu bertemu dan sama-sama menjayakan persembahan.
Beliau seorang yang amat profesional. Ketika datang latihan, beliau sudah tahu
tentang lagunya. Orangnya memang sangat berdisiplin tinggi, sangat baik dan
sering melakar senyuman. Kalau artis lain lambat, beliau tidak pernah tarik
muka,” beritahu Zainal hiba.
Gandingan bersama nama-nama
hebat seperti Sheila Majid menjadikan SM Salim seorang penyanyi irama Melayu
Asli yang merentasi zaman.
Bagi Zainal, kehilangan SM
Salim tidak ubah seperti kehilangan seorang ayah.
“Saya masih terkejut kerana
saya baru melawatnya pada waktu Asar (semalam). Tidak sampai dua jam pulang ke
rumah, saya dihubungi Kosmo! tentang pemergian beliau,” tambah Zainal lagi.
Sepanjang hayatnya, sejak 1979,
SM Salim pernah menzahirkan 14 buah album termasuk empat buah album kompilasi
antaranya Bunga Ros, Apa Dah Jadi, 1, Nanti Dulu, Jeling Menjeling, Perjalanan
Seni dan Sekarang Dah Jadi.
Menjadikan beliau seorang
penghibur yang kekal relevan di hati khalayak, tidak sahaja lagu solo, duetnya
bersama beberapa bintang terkenal seperti Datuk M. Nasir menerusi lagu Seloka
Cak Kun Cak, Datuk Zainal Abidin (Satu dan Putih Tetap Putih), Datuk Sheila
Majid (Entah Jadi Entahkan Tidak) dan Datuk Ramli Sarip (Selapis Kasih,
Sedulang Rindu) telah mengangkat lagi pengaruh beliau sebagai ikon seni serta
budaya bangsa.
Bagi Siti Nurhaliza, pemergian
SM Salim merupakan kehilangan tokoh seni serba boleh buat industri muzik
Malaysia. Beliau dianggap seperti bapa yang banyak memberi nasihat dan contoh
yang baik. Ilmu beliau boleh dimanfaatkan artis generasi kini.
“Pengalaman berduet bersama
beliau menerusi lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling serta Bergending Dong Gong
merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Beliau seorang yang banyak
memberi nasihat walaupun gemar menyelitkan lawak jenaka dalam persembahan
mahupun di luar pentas. Beliau seorang yang sangat rajin memberi didikan yang
baik untuk dicontohi,
“Saya sangat bersedih atas pemergian
beliau dan mendoakan agar rohnya diangkat bersama golongan hamba yang beriman.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga beliau. Saya mohon maaf kerana tidak
dapat menziarah kerana ketika ini saya berada di Jakarta, Indonesia,” luah Siti
ketika dihubungi Kosmo!
SM Salim sewaktu bertugas
sebagai juruhebah Radio Malaya
Jasa
Kisah SM Salim sebagai anak
seni sejati bukan hanya diketahui oleh peminat dunia hiburan. Sewaktu muda
beliau terpilih menjadi antara artis yang diundang untuk menghiburkan tentera
dari pelbagai negara ketika tentera Malaysia berada di Congo bersama Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1960.
Selepas kembali dari Congo
bersama-sama dengan penggesek biola, Allahyarham Hamzah Dolmat dan pelawak,
Ismail Bontak, beliau menerima pingat pertama Ahli Mangku Negara (AMN) daripada
kerajaan.
Bersatu hati dengan penggiat
seni lain untuk sama-sama memartabatkan industri muzik, beliau juga aktif dalam
berpersatuan.
“Saya mengenali beliau sejak
1985. Waktu itu saya mengambil alih jawatan sebagai Presiden Persatuan
Penyanyi-Penyanyi Tanah Air (Papita) dan beliau pula menyandang jawatan
Timbalan Presiden. Jadi, hubungan kami agak rapat sebab saling bekerjasama.
“Kalau bercerita tentang
karakter, beliau seorang periang, suka bercerita dan berjenaka. Beliau cukup
dekat di hati saya sebab kami berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 30
Julai, cuma tahun sahaja berbeza. Beliau tua 18 tahun daripada saya.
“Saya doakan rohnya dicucuri
rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” cerita A. Rahman tersayap
pilu.
Menurut A. Rahman, sesuatu yang
sangat istimewa tentang SM Salim, walaupun memperjuangkan lagu irama Malaysia,
nyanyiannya unik berbanding penyanyi lain. Beliau boleh menyanyi seperti
bercakap, contohnya menerusi lagu Cinta Dulu Cinta Sekarang dan Apa Dah Jadi.
“Beliau menyanyi tidak ikut
tempo, boleh jadi lebih cepat atau lambat daripada muzik dan ada stail ghazal.
Nyanyian beliau bagaimanapun tidak sumbang. Beliau menyanyi ikut rasa hati dan
tidak semua orang boleh buat. Sukar untuk mencari ganti orang hebat
sepertinya,” tambah penyanyi irama pop yeh yeh itu.
Melangkaui enam dekad menjadi
bintang menghiasi langit seni tanah air, jasa SM Salim menyuntik nilai-nilai
moden dalam lagu irama Melayu Asli, zapin dan ghazal amat disanjung tinggi.
Pengiktirafan
Pengaruh dan kejituan karya
serta keperibadian SM Salim menjadikan beliau bukan sembarangan penghibur.
Pencapaian tertinggi dalam hidupnya ialah dianugerahkan pingat Darjah Setia
Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2
Jun 2001 yang membawa gelaran Tan Sri. Beliau menjadi seniman kedua selepas
Allahyarham P. Ramlee.
Karier seni pemilik nama penuh
Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al-Mahros yang dilahirkan pada 30 Julai 1928 itu
bermula apabila beliau bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya (sekarang RTM)
secara sambilan semenjak 1957.
Ketika itu beliau dikenali
dengan lagu-lagu Melayu klasik. Lewat 1950-an, beliau menganggotai kumpulan
Irama Melayu sebelum menyertai Orkestra Puspati. Ketika itu, P. Ramlee sendiri
turut menjadi insan yang banyak mempengaruhi kerjaya seninya.
Radio jugalah yang
memperkenalkan siapa Allahyarham kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
“Sejak berusia 10 tahun lagi,
saya sudah kagum dengan kepetahan penyampaiannya yang ketika itu bertugas
sebagai juruhebah radio. Dahulu tiada televisyen, jadi orang cuma dengar radio
untuk hiburan. Beliau bukan setakat boleh menyanyi, tetapi melawak dan berpantun
dengan baik.
“Saya juga berpeluang
merakamkan lagu berjudul Lagu Zaman bersama arwah dan Usop Kopratasa. Dahulu,
kami sering bertemu kerana berada bawah label sama iaitu Warner Music. Sewaktu
rakaman kami tidak pernah ada masalah, memudahkan kerja semua orang, suka
mengusik dan senang didekati. Gurauan beliau agak pedih tetapi mesra,” cerita
Jamal.
Semalam, rembang petang Khamis
telah menjadi langit mendung buat seluruh warga daerah seni tanah air.
Seluruh peminat tidak kira tua
atau muda amat tahu, bahawa SM Salim merupakan seniman patah hati selama hayat
seninya.
Bahkan ketika terlantar di
rumah beberapa tahun lalu, beliau masih meluahkan kerinduan untuk menyanyi di
atas pentas setiap kali diwawancara wartawan.
Semalam juga, hanya ungkapan
terima kasih atas segala curahan ‘peringatan’ indah selama ini, yang mampu
dibisikkan kepada arwah.
Kesempatan menziarahi beberapa
jam sebelum Allahyarham berangkat ke negeri abadi pasti akan dikenang sepanjang
hayat selama bergelar wartawan hiburan. Al-Fatihah.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4UL44dyPo
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment