FAIZ (kiri) berkongsi kegembiraan dengan isternya, Nor Zawanis Hashim setelah jaringannya tersenarai antara tiga calon terbaik untuk menerima anugerah Puskas di Zurich, Januari depan.
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar menaja Mohd. Faiz Subri menghadiri majlis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 di Zurich pada Januari depan, selepas jaringan pemain tengah Pulau Pinang itu tersenarai antara tiga jaringan terbaik dunia.
Naib Presiden FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pencalonan tersebut merupakan sesuatu yang membanggakan negara dan ia jarang berlaku apabila pemain Malaysia terpilih antara tiga calon terbaik dunia bagi menerima anugerah itu.
“Pada pandangan saya, FAM perlu menaja beliau (Faiz) ke sana (Zurich) bersama keluarganya kerana ia merupakan perkara yang jarang berlaku.
“Faiz dipilih untuk Anugerah Puskas itu dan saya amat bersetuju pemergiannya ke Zurich ditaja FAM,” kata Takiyuddin ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog rakyat bertajuk ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ di Kuala Lumpur semalam bersempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut di seluruh negara.
FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com pada 2 Disember lepas mengumumkan gol jaringan Faiz tersenarai dalam senarai akhir untuk anugerah berkenaan bersama-sama pemain kelab Corinthians dari Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.
Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4SOIvsuQp Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment