ARKIB : 12/01/2000
NAMA Zainal Abidin Ahmad
(Za'ba) begitu sinonim dalam dunia intelektual Melayu. Selama hayatnya, beliau
berjaya membawa wacana baru dalam pemikiran masyarakat yang selama itu
dikongkong oleh kolonialisme.
Masyarakat Melayu yang masih
ketinggalan dalam semua aspek akibat kolonialisme di gesa untuk bangkit memajukan
dengan ilmu pengetahuan dan keteguhan agama serta budaya supaya setanding
dengan orang-orang asing.
Beliau yang mendapat pendidikan
Melayu, Inggeris dan Arab, sesuatu yang jarang dimiliki oleh masyarakat Melayu
pada era sebelum merdeka berjaya meletakkan dirinya sebagai tokoh pendidik,
pemikir kreatif, agama dan lain-lain.
Dalam bidang pendidikan, Za'ba
berusaha gigih mengubah persepsi dan mental masyarakat melayu agar menerima
pendidikan moden selaras dengan perkembangan dunia ketika itu.
Arba'iyah Mohd. Noor, salah
seorang pembentang kertas kerja pada seminar pemikiran Za'ba di DBP, Kuala
Lumpur baru-baru ini melihat pendidikan merupakan elemen penting gerak kerja
Za'ba.
''Za'ba menekankan konsep
pendidikan dalam karya-karyanya. Beliau merasakan perlunya pembaharuan yang
menyeluruh bagi bangsa Melayu yang hidup dalam keadaan tidak bersatu, taraf
ekonomi rendah, masih menebal kepercayaan karut dan sistem pendidikan Inggeris
yang mendiskriminasi orang Melayu.
''Menyedari hakikat ini, Za'ba
merasa yakin bahawa jalan utama bagi penyelesaian masalah ini ialah melalui
pelajaran dan pendidikan yang sempurna,'' katanya.
Sebagai intelektual, Za'ba
yakin bangsa Melayu juga mampu untuk berdiri setanding dengan bangsa-bangsa
asing, namun mereka jahil dan kurang pengetahuan dalam pelbagai bidang.
Mereka mundur disebabkan oleh
sistem pendidikan penjajah yang mahukan orang-orang Melayu sekadar boleh
membaca dan menulis sahaja untuk menjamin kelangsungan politik kolonialisme
mereka.
Untuk tujuan ini, beliau telah
mengkritik dan menggesa pihak berkuasa, khususnya Inggeris agar memandang
serius masalah keciciran pelajaran anak-anak Melayu tersebut.
''Kritikan terhadap kelemahan
sistem pendidikan kolonial dan tuntutan-tuntutan tersebut telah disuarakan di
dalam majalah Pengasuh, Majalah Guru, Panduan Guru dan lain-lain.
''Selain itu, beliau juga turut
membentuk persatuan guru-guru agar mereka bersatu demi membangunkan pendidikan
anak-anak Melayu sehingga tertubuhnya Persatuan Guru-guru Melayu yang pertama
di Pulau Pinang pada 1921.
Sementara itu dalam aspek
Islam, Za'aba juga berjaya menempatkan dirinya sebagai salah seorang pe-mikir
Islam yang banyak memberikan sumbangan tersebut dalam hubungannya dengan
masyarakat Melayu.
Pendeta Za'ba dalam hal ini
dapat dianggap sebagai tokoh Islam dari aliran Kaum Muda yang cuba membawa
membuka agama ini dari fahaman konservatif Kaum Tua di tanah Melayu sekitar
awal abad ini.
Menurut pensyarah Jabatan
Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya, Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali,
Za'ba begitu terpengaruh dengan ajaran-ajaran golongan reformis seperti Muhamad
Abduh dan Jamaluddin al-Afghan di Timur Tengah.
''Za'ba berkecimpung dalam
pemikiran Islam bukanlah sebagai seorang ulama tetapi hanya untuk memberi
perhatian dan berfikir tentang selok-belok agama orang-orang Melayu.
''Justeru itu, tidak
menghairankan sekiranya Za'ba cuba mengembalikan Islam kepada bentuk asalnya
sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dan hadis serta menyelaraskan dengan
zaman kemajuan,'' katanya.
Dalam konteks ini, Za'ba
mengutarakan beberapa pandangan. Antaranya pandangan mengenai al-Quran dan
hadis, akal dan taqlid, falsafah takdir, persoalan Allah dan perbuatanNya,
akhlak, agama serta kedudukan ulama Melayu.
Selain itu, beliau juga turut
melahirkan pandangan-pandangan mengenai perselisihan dalam mazhab Islam serta
metodologi pengamalan Islam dalam masyarakat Melayu.
Aspek yang juga merupakan
elemen terpenting dalam kerangka pemikiran Za'ba ialah dalam bidang bahasa
(bahasa Melayu). Pemerhatian yang serius ditumpukan kepada sistem, ejaan dan
tata bahasa.
Beliau dianggap mengasaskan
babak perkembangan ilmu bahasa dan linguistik Melayu sejak tahun 1920-an,
sezaman dengan tokoh lingustik Amerika yang cukup berpengaruh, Leonard
Bloomfield.
Tokoh bahasa, Prof. Madya Dr.
Awang Sariyan pada seminar tersebut melihat, Za'ba berjaya mengasaskan ilmu
fonologi di negara ini sejak 1930-an.
''Tokoh ini telah mengemukakan
lewat analisisnya tentang sistem ejaan bahasa Melayu. Orang yang tidak memiliki
intuition tentang fonologi tidak mungkin dapat mengetengahkan analisis sistem
ejaan sesuatu bahasa.
''Dalam mengemukakan sistem
ejaan bahasa Melayu, Za'ba turut memperlihatkan ketajaman institusinya tentang
konsep-konsep fonetik, walaupun dengan cara yang cukup sederhana,'' katanya.
Dr. Awang menjelaskan,
pemikiran-pemikiran yang turut diketengahkan ialah penggulungan kata iaitu
nama, perbuatan, sifat, sendi dan seruan. Setiap golongan utama itu
dipecah-pecahkan kepada subgolongan. Misalnya di bawah nama terdapat nama betul
dan ganti nama.
Analisis lain yang turut
dikemukakan dalam bidang bahasa dan lingustik ialah tentang ayat selapis, ayat
berlapis, ayat berkait dan ayat bercampur sehingga penggulungan ini tidak jauh
berbeza dengan bahasa-bahasa lain di dunia.
Selain itu, menurutnya, Za'ba
juga mempunyai jasa yang begitu besar dalam mengetengahkan ilmu retorik.
Karyanya, 'Ilmu Mengarang Melayu' menjadi pedoman kepada kerja-kerja mengarang
untuk prosa dan puisi.
Berdasarkan pemikiran-pemikiran
ini, wajarlah Za'ba dianggap tokoh intelektual Melayu yang memberi sumbangan
besar kepada kemajuan bangsa dan negaranya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4SpEpVCPG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment