Ad

Friday 23 December 2016

Akhbar Sebagai Sumber Sejarah.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Akhbar-akhbar Melayu yang diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan satu sumber sejarah kerana setiap satunya merakam peristiwa sejarah semasa masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim, “Akhbar memang biasa digunakan sebagai sumber sejarah; tetapi tidak ramai sebenarnya yang banyak bergantung kepada akhbar Melayu untuk menulis sejarah masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar Melayu, sepanjang abad ke-20, melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1]

      Bagi Roff pula, “…untuk seorang ahli sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama itu merupakan suatu alat perakaman yang amat mustahak dan berguna. Mustahak, bukan saja kerana pada halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, tetapi adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan menjelaskan  fikiran dan perasaan orang-orang yang hidup ketika itu.”[2] 

      Manakala menurut Ahmat Adam, akhbar amat penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap pihak berkuasa atau pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang melibatkan kepentingan umum.[3]

      Seterusnya, makalah yang terkandung di dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa sejarah sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang menyiarkan makalah riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal Pegawai Yang Mengambil Akan Singapura.” [4] Pengasuh pula menyiarkan rencana  yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam.”[5] Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat menyumbang kepada timbunan sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman tersebut asalnya bukanlah sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun makalah yang terdapat di dalam akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah supaya objektif kebenaran sejarah adalah sah.



              [1] Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sunber Sejarah, Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1984,  hlm.5.
              [2]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, Monograf Persekutuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1967,hlm.7.
              [3]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas , hlm.30.
              [4] Chahaya Pulau Pinang, 29 Disember 1900, hlm.2-3.
              [5]Syed Abu Bakar Abdullah Al-Attas, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam, Pengasuh, Bil.611, 20 Mei 1937, hlm. 1-2. 

No comments:

Post a Comment