FAIZ (kiri) bersama keluarga akan berlepas ke Zurich pada 8 Januari depan.
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan menaja tiket penerbangan isteri dan dua anak pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri ke Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sebagai menghargai kejayaan Faiz tersenarai dalam tiga calon akhir bagi merebut Anugerah Puskas FIFA 2016, badan induk kebangsaan itu berbesar hati untuk menaja perjalanan keluarganya.
“Persatuan akan menaja tiga tiket penerbangan kelas perniagaan (business class) kepada isterinya, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.
“Selain isteri dan dua anaknya, Faiz akan turut ditemani wakil FAM iaitu Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah untuk bersama-sama ke majlis anugerah di Zurich itu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mereka dijadual berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Januari (Ahad) jam 10.15 pagi dan dijangka tiba semula di tanah air pada 11 Januari (Rabu) jam 3.15 petang.
Faiz, 29, sebelum ini mencipta sensasi apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu berjaya dicalonkan dalam Anugerah Puskas tahun ini.
Gol pada minit ke-62 itu yang dikatakan ‘melanggar hukum fizik’ berjaya mencuri perhatian serata dunia selepas menjadi viral di laman sosial.
Malah, kejayaan melepasi pusingan pertama membabitkan 10 pencalonan lain bagi anugerah berkenaan sebelum ini meletakkan dirinya pada posisi terbaik untuk memenangi gelaran itu.
Untuk undian pusingan terakhir, Faiz turut dicabar dua lagi finalis lain iaitu pemain kelab Corinthians dari Brazil, Johnath Marlone dan pemain remaja wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.
“Persatuan ingin sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya kepada Faiz. Buat para peminat bola sepak di seluruh dunia khususnya di Malaysia, teruskan mengundi di fifa.com/Puskas sehingga 9 Januari 2017 bagi memastikan satu lagi sejarah akan tercipta dengan Faiz muncul pemain pertama dari Malaysia dinobatkan sebagai pemenang,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:52 AM
No comments:
Post a Comment