Ad

Sunday 18 December 2016

Kota Lukut berpotensi jadi tarikan pelancong

ARKIB : 06/04/2000
Oleh: ASRUL EFFENDI KAMARUZAMAN
KOTA Lukut telah dibina oleh Raja Jumaat Raja Jaafar iaitu pada kira-kira tahun 1847 semasa pemerintahan Sultan Selangor yang ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah (1826-1857).

Ia terletak di atas bukit yang bernama Bukit Gajah Mati atau dikenali juga sebagai Bukit Raja.

Kota batu ini merupakan bukti sejarah yang nyata mengenai kegemilangan Lukut yang merupakan sebuah daerah berhampiran dengan Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedudukannya yang tinggi di atas bukit membolehkan para pelawat memandang jelas ke Sungai Lukut, Selat Melaka dan juga kawasan sekitarnya.

Ia terletak lebih kurang 30 kilometer dari bandar Seremban. Pada asalnya kawasan ini adalah merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang telah dibuka pada tahun 1815. Kepentingan Kota Lukut adalah ia merupakan artifak sejarah yang melambangkan keagungan kerajaan Melayu pada awal abad yang ke-19.

Kota ini berbentuk empat segi bujur yang mempunyai ukuran lebih kurang 200 meter panjang manakala lebarnya pula ialah 170 kaki. Ia juga dikelilingi dengan parit di sebelah luarnya yang dalamnya di antara 10 hingga 15 kaki. Ia dipercayai dipasang dengan ranjau yang bertujuan untuk menghalang musuh daripada menyerang kota tersebut. Buktinya longgokan tanah yang digali telah dijadikan kubu sementara meriam-meriam yang dibeli dari pihak Belanda di Melaka menjadi benteng pertahanan yang digeruni ketika itu telah ditempatkan di atas tembok kota. Para pelawat boleh melihat meriam tersebut di halaman bangunan Muzium Lukut yang terletak berhampiran dengan Kota Lukut.

Mengikut kajian para penyelidik, di tengah-tengah sebelah dalam kota ini telah didirikan sebuah istana besar oleh Raja Jumaat untuk puterinya yang bernama Raja Wok.

Sementara itu, di hadapan istana ini pula terdapat sebuah gelanggang tempat bermain sepak raga. Di setiap penjuru tembok kota ini dibina sebuah kolah untuk mengisi air yang dibawa dengan kereta lembu daripada bawah.

Manakala di bahagian belakang iaitu di penjuru kota ini terdapat dinding batu untuk menjaga sebuah telaga yang berhampiran iaitu Perigi Beracun. Ia dikatakan menjadi tempat hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan yang berat. Bagi perigi di bahagian tengah Kota Lukut atau dikenali juga sebagai Perigi Raja Jumaat pula dikatakan khas untuk raja serta permaisurinya, sentiasa dipagar dan juga diawasi oleh pengawal baginda. Bagi yang melakukan kesalahan ringan akan diarahkan untuk mengangkut air ke istana.

Terdapat pintu gerbang sebagai jalan masuk ke kota ini iaitu di sebelah utara dan barat. Manakala di sepanjang jalan mengelilingi bukit tersebut diaturkan pula batu tanpa simen bagi mengelakkan pasir-pasir jalan daripada dihanyutkan air ke bawah.

Sementara Raja Bot memerintah, Kota Lukut diperbesarkan serta diperkuatkan dengan 30 orang askar Arab bagi menghadapi sebarang serangan musuh.

Ini kerana baginda banyak menghadapi tentangan terutamanya daripada Raja Sulaiman iaitu dari Sungai Raya yang enggan tunduk kepada baginda. Menurut cerita, sewaktu peperangan berlaku kebanyakan kanak-kanak dan kaum wanita berlindung di dalam Kota Lukut.

Namun begitu kegawatan politik serta kekacauan yang kemudiannya sering berlaku akhirnya melemahkan kewangan Lukut. Ini mengakibatkan sedikit demi sedikit menghakis kemasyhuran pemerintahan sebelum ini. Akhirnya Kota Lukut semakin ditinggalkan dan kini hanya bekasnya sahaja yang masih ada sebagai bahan sejarah mengenai sistem pertahanan di zaman pemerintahan kerajaan Melayu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_07.htm#ixzz4TFbjoEFA © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment