Ad

Friday 2 December 2016

Lenyapnya benteng melayu Singapura

ARKIB : 09/05/1999
Istana yang dibina pada 1821 oleh Sir Stamford Raffles merupakan benteng terakhir kesultanan Melayu di Singapura yang akan runtuh serta melenyapkan kekuasaan dan ketuanan Melayu di republik itu yang sebelum ini dikenali sebagai Temasik.

Kawasan seluas kira-kira 23 hektar yang terletak di Sultan Gate, Kampung Glam yang dikhaskan untuk Sultan Hussain Shah merupakan sultan terakhir Singapura sebagai tempat penginapannya oleh Inggeris.

Perjanjian pemberian tapak kawasan itu telah dibuat pada 1824 di mana Singapura diserahkan kepada British kecuali kawasan Kampung Glam diserahkan kepada Sultan Hussain dan ia telah terkandung dalan Ordinan Sultan Hussain.

Kemangkatan Sultan Hussain di Melaka pada 1835 telah menyebabkan istana itu ditadbir oleh Tengku Mahmud dan setelah Tengku Mahmud diracun, Tengku Ali yang berumur 12 tahun dilantik sebagai pengganti Sultan Hussain dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah atas persetujuan Kompeni Inggeris.

Sultan Ali dengan rasminya telah menyerahkan kuasa pentadbiran Negeri Johor kepada Temenggung Daing Ibrahim pada 1855 dengan beberapa syarat dalam perjanjian 1855 dengan disaksikan oleh Gabenor Blundell dan perjanjian itu telah menyebabkan perpecahan kerajaan Johor-Riau.

Pada 1877, Sultan Ali mangkat di Umbai, Melaka dan Tengku Alam sebagai anak lelaki sulung mengambil alih tugas sebagai wakil dan ketua pentadbir istana selama 14 tahun sehingga 1891.

Bertitik-tolak pada tahun itu, telah mewujudkan sengketa dalam keluarga di mana tiga isteri Sultan Ali, Tengku Ngah yang mempunyai dua orang anak perempuan, Daing Siti (mempunyai seorang anak lelaki) dan Che' Sembuh Mokmin (tiga anak lelaki dan empat perempuan) berebut harta tinggalan Sultan Hussain.

Perebutan kuasa itu telah menyebabkan Istana Kampung Glam dibawa ke Mahkamah Straits Settlement pada 1897, walapun surat kuasa telah diberikan kepada waris Sultan Hussain, pertelingkahan keluarga terus berlaku hingga menyebabkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan membuat satu keputusan.

Berdasarkan perjanjian 1819 dan 1824 di mana pihak Inggeris berjanji untuk melindungi Sultan Hussain, Hakim Leach dan Chief Justice Collyer menetapkan tanah istana itu sebagai 'Crown Land' pada 23 Disember 1897.

Satu rang undang-undang dikenali sebagai Rang Undang-Undang Sultan Hussain 1905 telah digubal bagi menjaga kepentingan waris Sultan Hussain.

Tanah tersebut yang ditadbir oleh pejabat tanah sehingga sekarang dan bayaran sebanyak S$750 setiap tahun kepada keluarga sultan ketika itu (Tengku Mohd. Hitam Besar, Tengku Andak, Tengku Ali, Tengku Abdul Jalil dan Tengku Jaafar) perlu diberikan.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat lebihan hasil dari estet Kampung Glam itu, kerajaan perlu membayar sembilan per sepuluh hasil keuntungan itu kepada keluarga.

Keadaan tersebut berterusan dan pada awal tahun 90-an, Tengku Kadir Tengku Mohamed kemudian dilantik oleh pihak istana untuk mentadbir istana itu sehingga Perang Dunia Kedua dengan kemasukan tentera Jepun pada 1941-1945.

Istana tersebut kemudian ditadbir oleh Tengku Hussain, Tengku Muda Mohd. dan akhirnya Tengku Aziz Tengku Hussain sebelum meninggal dunia pada 1996.

Istana yang kini terlalu usang, bagaimanapun didiami oleh kira-kira 300 orang yang terdiri dari kira-kira 20 keluarga waris Sultah Hussain dan baki kira-kira 5 keluarga dari kakitangan istana.

Kini, pemerintah bercadang untuk mengambil istana tersebut untuk dijadikan sebagai Pusat Warisan Melayu dan kesemua waris dan mereka yang menghuni istana itu perlu mengosongkan premis tersebut.

Bagaimanapun waris-waris Sultan Hussain tidak bersetuju dengan cadangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan republik itu untuk membangunkan kawasan Istana Kampung Glam sebagai Pusat Warisan Melayu Singapura.

Salah seorang waris Sultan Hussain Shah, Tengku Mohamed Tengku Jamil berkata, beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum projek itu boleh diteruskan.

Katanya, satu surat yang ditandatangani oleh waris Sultan Hussain Shah juga telah diserahkan ke Perdana Menteri, Goh Chock Tong tidak lama lagi bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung dengan projek itu.

Projek pemulihan Istana Kampung Glam oleh kerajaan Singapura itu dijangka dapat dimulakan pada tahun hadapan dan dijangka siap pada tahun 2002.

Istana akan ditukarkan kepada Pusat Warisan Melayu dimajukan bukan hanya sebagai tempat tumpuan acara-acara kebudayaan dan penampilan budaya Melayu tetapi juga sebagai pusat kegiatan komersial.

Kementerian Undang-Undang Singapura baru-baru ini menyatakan, terdapat dua kegiatan yang akan dijalankan iaitu kegiatan budaya dan komersial sebagai pendapatan untuk pusat itu.

Bagaimanapun, tumpuan utama ialah mempamerkan warisan, sejarah dan budaya orang Melayu di Singapura dan hubungannya dengan saudara-mara mereka di Asia Tenggara dan bahagian lain dunia sebelah sini.

Tengku Mohamed berkata, pihaknya beberapa cadangan projek itu cuba menidakkan waris Sultan Hussain dan dengan adanya projek itu akan menamatkan serta melenyapkan warisan sejarah kesultanan Melayu di Singapura.

Katanya, pihaknya bersedia menerima rancangan kerajaan dengan syarat mereka dibenarkan terus menetap di kawasan tersebut dan hak kawasan itu masih kekal seperti yang terdapat dalam 'Sultan Hussain Ordinance 1905'.

Beliau memberitahu, dalam ordinan itu menyebut tanah seluas 23 hektar dilindungi daripada hilang atau dijual oleh mereka yang tamak dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, setelah pembangunan termasuk membaik pulih bangunan itu, selesai dilakukan, pihaknya mahukan keluarga mereka dibiarkan mendiami kawasan itu dan pada masa yang sama membenarkan para pelancong melawatnya.

Keadaan itu adalah sama seperti yang berlaku di sebuah kawasan istana di Indonesia iaitu di Kraton, katanya, konsep itu boleh dijadikan contoh.

Pihaknya juga mahukan supaya nama Istana Kampung Glam itu dikekalkan dan bukan sebagai Pusat Warisan Melayu, kerana ia amat jauh berbeza, katanya.

Menteri Undang-Undang Singapura, Prof. S Jayakumar dalam sidang Parlimen baru-baru ini menyatakan, pemerintahan British ketika itu menggubal Ordinan Sultan Hussain bertujuan menjaga keperluan kewangan keluarga Sultan Hussain yang disifatkan oleh Gabenor British sebagai 'golongan melarat'.

Ordinan itu memperuntukkan bayaran tahunan kepada keluarga Sultan Hussain yang ditetapkan berdasar hasil pendapatan estet pusaka Kampung Glam.

Katanya, bayaran itu tidak bertujuan diberikan untuk selama-lamanya tetapi bertujuan untuk keluarga Sultan Hussain semasa ordinan itu digubal.

Bagaimanapun, atas sebab-sebab sejarah, bayaran tahunan ini diteruskan oleh pemerintah selanjutnya untuk selama lebih 100 tahun, ini telah menyebabkan keadaan yang tidak memuaskan.

Kata Jayakumar, keadaan itu amat tidak memuaskan atas beberapa sebab, pertama, bilangan waris bertambah, jumlah bayaran menjadi semakin kecil ekoran sumber pendapatan semakin susut.

Kedua, bayaran akan menjadi semakin kecil kerana bilangan waris bertambah banyak.

Memandangkan faktor-faktor itu dan pengumuman mengenai pemulihan projek bagi Istana Kampung Glam untuk dijadikan Pusat Warisan Melayu, pemerintah telah memutuskan bahawa tepat masanya untuk menyemak semula skim bayaran di bawah ordinan itu.

Di bawah satu skim baru yang dibuat, pemerintah mengumumkan satu skim baru bayaran kepada waris Sultan Hussain yang berjumlah 79 orang.

Sebanyak S$350,000 akan dibayar kepada 79 orang waris berkenaan setiap tahun bagi tempoh 30 tahun mulai tahun ini. Ini merupakan tambahan sebanyak 10 kali ganda daripada elaun yang diberikan sekarang iaitu kira-kira S$29,200 setahun.

Oleh: ISHAK SALLEH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4RjpLrSKL © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment