Ad

Saturday 17 December 2016

PM: Sharifah Rodziah turut menyumbang kepada kemerdekaan

 ARKIB : 13/03/2000
 
DR. MAHATHIR Mohamad dan isteri serta beberapa pemimpin negeri menziarahi jenazah Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakhbah di kediamannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 12 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Allahyarham Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakhbah sebagai wanita pertama yang turut memberi sumbangan kepada kemerdekaan.

Beliau berkata, sumbangan tersebut ditonjolkan menerusi sokongannya kepada perjuangan suaminya, bekas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

''Allahyarham banyak memberi sokongan kepada Almarhum Tunku dan sedikit sebanyak sumbangan ini berkait dengan perjuangan untuk kemerdekaan dan pelbagai lagi,'' kata beliau.

Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menziarahi jenazah Allahyarham Tun Sharifah Rodziah di kediamannya, di sini, hari ini.

Tun Sharifah Rodziah, 80, meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi ini di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat masalah paru-paru berair.

Dr. Mahathir bersama isteri tiba di kediaman Allahyarham kira-kira pukul 3.40 petang, diiringi oleh Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Hilmi Yahaya.

Rakyat Malaysia menyanjung jasa Allahyarham Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi yang selama ini menjadi pembantu dan pendorong kuat di sebalik kejayaan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Allahyarham bukan sahaja seorang isteri contoh malah seorang ibu yang sepatutnya ditauladani oleh rakyat Malaysia.

Beliau mempunyai caranya yang tersendiri membantu suaminya dan berusaha bagi menjayakan perjuangan Tunku Abdul Rahman,'' katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah pada pukul 1.45 tengah hari ini.

Abdullah diiringi oleh Dr. Koh Tsu Koon dan Dr. Hilmi Yahya serta pemimpin komponen Barisan Nasional.

Beliau menegaskan, peranan dan jasa cemerlang Allahyarham serta bantuannya sepanjang hayat 'Bapa Malaysia' Almarhum Tunku Abdul Rahman amat dihargai.

''Kita akan kenang dan sanjung pengorbanan tersebut dan telah menganugerahkan pingat yang membawa gelaran Tun sebagai mengenang jasa-jasanya,'' tambah beliau.

Beliau seterusnya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4T6efFJmG © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment