Ad

Wednesday 7 December 2016

ITM jadi universiti -- Pertukaran nama tidak libatkan perubahan dasar - PM


 

ARKIB : 27/08/1999
DR. MAHATHIR Mohamad memegang ikrar daripada siswazah ITM yang diserahkan kepada beliau pada Perhimpunan Perdana Siswazah ITM bersama Perdana Menteri di Shah Alam, semalam. - Gambar UTUSAN.

SHAH ALAM 26 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, hari ini mengumumkan kenaikan taraf Institut Teknologi MARA (ITM) kepada sebuah universiti dan menukar namanya kepada Universiti Teknologi MARA (UTM).

Menurutnya, kenaikan taraf ini sesuai dengan peranan besar ITM dalam pembangunan negara.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pertukaran nama itu tidak akan melibatkan perubahan dalam dasar institut itu yang hanya terbuka kepada pelajar-pelajar Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja.

Katanya, langkah itu sesuai dengan kejayaan dan peranan ITM yang sudah 43 tahun dalam bidang pendidikan tinggi dan melahirkan banyak graduan yang menyumbangkan ke arah pembangunan negara.

Pengumuman Perdana Menteri itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh lebih 15,000 siswazah dan pelajar ITM yang menghadiri Perhimpunan Perdana Siswazah ITM bersama Perdana Menteri di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Perhimpunan yang julung kali diadakan itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pengarah ITM, Tan Sri Ir. Ahmad Zaidee Laidin serta bekas-bekas Pengarah ITM iaitu Tan Sri Arshad Ayob dan Tan Sri Dr. Awang Had Salleh.

Pengumuman Perdana Menteri itu juga merealisasikan hasrat beberapa orang pemimpin ITM sebelum ini yang mahukan institut itu diberi taraf universiti.

Cadangan pertama untuk itu telah dikemukakan oleh bekas pengarahnya, Arshad Ayub.

Hasilnya, pada tahun 1996 Akta ITM telah dipinda bagi membolehkan ia berfungsi seperti universiti-universiti awam lain.

Najib, ketika ditanya sama ada penggunaan nama UTM akan berkuat kuasa serta-merta memberitahu: ''Dari segi perundangan belum lagi tetapi untuk penggunaan biasa ia sudah boleh dipanggil UTM.''

Katanya, sedikit pindaan akan dibuat pada Akta ITM untuk mengesahkan ia sebagai sebuah universiti secara perundangan.

Pindaan itu, kata beliau, akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Sementara itu bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Perdana Menteri mengakui, beliau pernah menentang untuk menaikkan taraf ITM kepada universiti.

Katanya, ketika itu institusi itu di bawah pentadbiran pengarahnya, Arshad Ayob manakala Pengerusi Perhimpunan Siswazah, Datuk Ibrahim Ali pula merupakan ketua pelajar.

Sambil berjenaka, Dr. Mahathir berkata, ini kerana pada masa itu beliau melihat Ibrahim sebagai tidak layak menjadi penuntut universiti.

''Saya mengaku saya pernah menentang cadangan menaikkan taraf ITM sebagai universiti semasa Tan Sri Arshad Ayob dan Ibrahim Ali ketua pelajar dan dia buat kacau.

"Tetapi ITM kini bertambah besar dan ramai penuntutnya yang capai kejayaan dan mereka menyumbangkan kepada pembangunan negara," tegasnya.

Perdana Menteri turut mengakui penukaran nama itu juga agak lewat kerana ITM kini telah pesat berkembang dan penuntut-penuntutnya sudah mencapai kejayaan cemerlang dalam membangunkan negara ini.

Ditanya mengenai yuran UTM itu pula, Dr. Mahathir berkata, Menteri Pendidikan akan membuat kajian teliti kelak.

Bagaimanapun katanya, dengan kenaikan taraf itu ITM tetap tidak akan mengabaikan peranannya sebelum ini iaitu memberi peluang kepada pelajar-pelajar bumiputera yang kurang mampu untuk melanjutkan pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.

Sebab itu katanya, pada awal penubuhan institut itu ia memberi penekanan kepada pendidikan peringkat diploma kerana ia merupakan peringkat pertengahan yang menyediakan pelbagai latihan teknikal dan profesional kepada golongan tersebut.

Oleh itu tegas Perdana Menteri, beliau mahukan pengajian diploma itu diteruskan oleh UTM pada masa-masa depan.

''Kita tidak mahu dengan dinaikkan taraf ini mereka (pelajar-pelajar miskin) tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran. Fungsi ITM untuk bantu pelajar-pelajar miskin akan kekal. Sebab itu ditekankan supaya program diploma diteruskan,'' jelasnya.

Sementara itu, Najib turut memberi jaminan, walaupun ITM kini sudah menjadi universiti, dasarnya untuk menawarkan pendidikan peringkat tinggi kepada golongan Melayu dan bumiputera tidak akan berubah.

Malah katanya, ia juga masih memberi penekanan kepada kursus pada peringkat diploma kerana UTM akan menawarkan 70 peratus kursus peringkat itu manakala baki 30 peratus untuk kursus peringkat sarjana muda dan sarjana.

Beliau berkata, perkara-perkara lain termasuk yang melibatkan gaji kakitangan dan sebagainya akan dibincangkan kemudian.

Oleh: KAMARUZAMAN MOHAMAD dan AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4S9fG5Ns6 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment