Ad

Sunday 11 December 2016

Ali Rustam angkat sumpah KM Melaka

ARKIB : 03/11/1999
MELAKA 2 Dis. - Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Wira Mohd. Ali Rustam hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang kesembilan.

Beliau menerima surat pelantikan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Syed Ahmad Shahabudin pada satu istiadat di Istana Melaka di sini kira-kira pukul 9.05 pagi.

Mohd. Ali, 50, menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Abu Zahar, yang menyandang jawatan itu pada Mei 1997 selepas kematian Datuk Seri Mohd. Zin Abdul Ghani, bertanding kerusi Parlimen Jasin pada pilihan raya umum ke-10, Isnin lalu.

Mohd. Ali pula memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang ditandinginya pada pilihan raya yang sama.

Mohd. Ali, yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Berendam, sebelum ini adalah anggota Parlimen Batu Berendam.

"Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri dalam beberapa hari ini untuk mencadangkan nama anggota Exco kerajaan negeri. Setelah mendapat kelulusan, saya akan buat pengumuman.

"Saya fikir minggu depan akan diketahui senarai itu... belum fikir lagi siapa yang akan ada dalam senarai tetapi saya percaya akan ada campuran daripada yang lama dan baru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang berita pertamanya selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang kesembilan hari ini.

Ali juga adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri selain menjadi anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Sebelum memegang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan, Mohd. Ali memegang jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan, pelantikan selepas kemenangan BN pada pilihan raya umum 1995.

Mohd. Ali juga dikenali sebagai pemimpin belia dan sehingga kini memegang jawatan Presiden Gabungan Belia Sedunia (WAYS) dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia.

Walaupun memegang banyak jawatan dalam pertubuhan politik dan belia, Mohd. Ali tetap dengan caranya yang sederhana. Sikapnya yang peramah dan mesra menjadikan beliau antara pemimpin politik yang disegani dan popular di kalangan akar umbi.

Anak kepada seorang penoreh getah ini dilahirkan di Kampung Bukit Katil, Melaka pada 24 Ogos 1949 dan merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Alam persekolahannya bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Katil pada 1955 dan berpindah ke SK Semabok sebelum melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Tinggi Melaka.

Beliau kemudian mengikuti pengajian luar kampus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sehingga memperoleh Ijazah Pembangunan Ekonomi.

Jawatan terakhir sebelum menceburi politik sepenuh masa ialah menjadi Setiausaha Khas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebelum bertanding di kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek pada 1986.

Selepas memenangi pilihan raya umum pada 1986, Mohd. Ali dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Kerajaan Tempatan merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) serta Pengerusi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri.

Pada pilihan raya umum 1990, beliau bertanding di kawasan Dewan Undangan Sungai Udang dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Sains dan Teknologi Negeri.

Pada pilihan raya umum 1995 pula, Mohd. Ali dipilih bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Berendam dan selepas itu dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Mohd. Ali telah berumahtangga dengan Datin Asmah Abdul Rahman dan dikurniakan tiga orang anak. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4Sa4cxI24 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment