Ad

Thursday 1 December 2016

Mengingati Ahmad Ibrahim

ARKIB : 20/04/1999
PADA Sabtu lalu, saya dikejutkan oleh dua panggilan telefon. Panggilan pertama dari adik kandung saya di Muar, memaklumkan saya bahawa ibu sakit kuat dan saya perlu pulang dengan serta-merta. Dalam masa saya kelam-kabut bersiap sedia hendak berlepas dengan kereta (perjalanan dari Alor Setar ke Muar melalui lebuh raya mengambil masa kira-kira 7 hingga 8 jam), saya terima panggilan kedua dari seorang peguam di Alor Setar. Beliau (lulusan kumpulan pertama mahasiswa Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya) memaklumkan bahawa Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim telah meninggal dunia dan bertanya di mana agaknya jenazahnya akan dikebumikan. Saya maklumkan peguam itu, oleh kerana UIA telah pun berpindah dari kampus asalnya di Petaling Jaya ke kampus barunya di Gombak, dan Allahyarham Prof. Ahmad telah pun berpindah rumah ke kawasan yang berdekatan dengan kampus baru universiti itu, sudah pasti pengebumian jenazahnya tidak jauh dari kampus universiti tersebut.

Disebabkan urusan keluarga yang tidak dapat saya elakkan itu, saya katakan kepada peguam itu bahawa amat sukar sekali bagi saya untuk singgah di Gombak bagi maksud mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan. Dalam pada itu, saya katakan kepadanya sudah pasti sahabat-sahabat kita yang lain yang masih menetap di Kuala Lumpur dan di sekitar Lembah Klang akan menziarahi kaum keluarga beliau dan kemudian menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan.

Pertama kali saya menemui Allahyarham Prof. Ahmad ialah di awal tahun 70-an. Pada masa itu, beliau menjadi Dekan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya sementara saya bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara.

Disebabkan pada ketika itu, salah seorang pensyarah kanan di fakulti itu (Prof. Nik Rashid, kini sudah meninggal dunia) mahu berangkat ke luar negara untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana, saya telah 'dipinjamkan' oleh Jabatan Peguam Negara untuk mengajar secara sambilan di fakulti itu.

Tempoh saya mengajar di situ tidaklah lama. Ia 'terhenti' dengan tiba-tiba apabila satu rusuhan pelajar besar-besaran meletus di kampus (yang semua tahu apa sebab ia berlaku dan siapa yang terlibat dalam rusuhan itu). Ekoran rusuhan itu, saya maklumkan kepada fakulti bahawa saya tidak berminat untuk meneruskan khidmat saya di situ.

Dalam pertemuan kami yang pertama itu, saya dapati Allahyarham Prof. Ahmad seorang yang peramah, lemah lembut, suka senyum dan berhemah tinggi. Oleh sebab dia cepat mesra dengan sesiapa sahaja, saya tidak merasa kekok atau serba kekurangan bila berbual dengannya _ hingga saya terlupa buat seketika bahawa orang yang saya temui itu adalah bukan sebarang orang. Sebelum ini Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Peguam Negara Singapura dan menjadi duta negara itu di sebuah negara di Asia Barat.

Pada masa 10 tahun selepas saya meletak jawatan di Jabatan Peguam Negara (iaitu antara 1974 hingga 1984 semasa saya meneruskan kerjaya saya di bidang undang-undang dan korporat), sekali sekala saya ada menghubungi Allahyarham bila timbul keperluan. Bagi saya (dan saya pasti bagi ramai lagi di kalangan peguam yang pernah pada satu ketika menjadi 'muridnya'), Allahyarham Prof. Ahmad menjadi 'pakar rujuk' yang amat senang sekali dihubungi, kerana Allahyarham senantiasa bersedia membantu dan memberi buah fikirannya. Saya sering menggelar Allahyarham (bila kami di kalangan peguam berbincang sesama sendiri) sebagai walking encyclopaedia of Malaysian law (ensiklopedia bergerak undang-undang Malaysia).

Mulai 1984 hingga akhir 1989 (semasa saya memegang jawatan sebagai pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang UIA), hubungan saya dengan Allahyarham bertambah rapat. Kadangkala sebagai anak dengan bapa, kadangkala sebagai pelajar dengan gurunya (mentor), kadangkala sebagai sahabat dengan sahabat. Dalam masa inilah saya mempelajari satu dua rahsia kekuatannya _ kenapa dia diiktiraf oleh banyak pihak sebagai seorang tokoh undang-undang yang amat disegani.

Allahyarham adalah seorang yang suka membaca dan menulis. Bukan hanya setakat satu hobi. Malahan kadang kala saya lihat sebagai satu obsession (obsesi).

Ramai antara kita yang suka membaca, tetapi tidak semuanya rajin, tekun atau berani menulis. Ada juga di antara kita yang suka menulis, tetapi tak semua yang suka menulis ini sanggup atau mahu terus menerus membaca dan membuat kajian _ apatah lagi di bidang-bidang yang tak ada kaitan dengan bidang pengkhususannya itu. Allahyarham Prof. Ahmad tidak begitu. Kerajinan dan kesungguhan beliau, baik menulis atau membaca, melampaui semua bidang _ baik sivil mahupun syariah, baik bidang komersial, jenayah, perlembagaan, keluarga, atau apa sahaja.

Setiap kali bila saya berkunjung ke pejabatnya dan bertanya kepada setiausaha peribadinya di mana Allahyarham, jawapan yang saya terima ialah (jika Allahyarham tidak ada dalam dewan kuliah atau menghadiri mesyuarat di luar kampus) salah satu antara tiga:
* Allahyarham ada di biliknya sedang menulis
* Allahyarham ada di perpustakaan sedang membaca, atau
* Sudah pulang ke rumah kerana berehat sebentar.

Antara kita di kalangan pensyarah di UIA, kita faham benar bahawa waktu selepas zuhur, Allahyarham biasanya rehat (tidur) sebentar. Tak akan ada sesiapapun yang berani mengganggu beliau dalam jangka waktu itu.

Pada satu hari saya bertanya Allahyarham, ''Apakah rahsia di sebalik kesihatan Tan Sri?''. Allahyarham senyum sahaja, enggan menjawab. Saya tanya soalan itu kerana saya lihat Allahyarham sentiasa sihat dan ceria, jarang-jarang sakit seperti kita (batuk atau selesema dan sebagainya), dan walaupun usianya makin lanjut, saya tahu Allahyarham tidak ada pantang larang bila makan. Walhal seleranya kadang kala mengalahkan selera orang yang lebih muda.

Pada satu ketika semasa saya berada di Sri Lanka bersamanya (kerana menghadiri satu persidangan), saya mempelawanya makan malam di sebuah restoran. Makanan special yang saya pesan pada malam itu ialah kari kepala ikan. Barang siapa yang sudah biasa makan lauk kari di Sri Lanka, akan tahulah betapa pedasnya masakan orang di negara itu. Namun begitu, saya lihat Allahyarham makan dengan penuh selera, setanding dan tak kalah dengan selera saya dan kawan-kawan lain.

Juga pada satu ketika lain, Allahyarham mengajak saya makan murtabak bersamanya di sebuah restoran kegemarannya di Singapura. Tak cukup dengan apa yang dimakan di situ, Allahyarham menasihatkan supaya saya membawa bekal pulang untuk anak-anak. Kata beliau, sudah pasti isteri dan anak-anak saya akan sukakannya.

Berbalik kepada rahsia kesihatannya, setelah puas bertanya, akhirnya saya peroleh rahsia tersebut. Pertama, Allahyarham Prof. Ahmad jarang sekali putus wuduk (tidak batal air sembahyang). Kedua, setiap hari, selepas zuhur, Allahyarham mesti tidur buat seketika. Tidak perlu tidur lama, 15 minit sudah memadai. Yang penting mesti ada masa untuk benar-benar rehat. Ketiga, setiap petang antara asar dan maghrib (kecuali masa dan tugas rasmi tidak mengizinkan), Allahyarham membuat riadah secara mudah (simple walking exercise di kawasan pekarangan rumah). Dan keempat, akhir sekali, Allahyarham pastikan dirinya tidur awal (tidak pernah tidur lewat).

Yang rumitnya bila kita melawat ke luar negara dengan Allahyarham ialah disebabkan Allahyarham sudah masuk tidur awal-awal lagi, sebelum subuh Allahyarham sudah bangun untuk wirid dan membaca di biliknya. Sebaik sahaja masuk waktu subuh, Alalhyarham akan mengetuk pintu kita supaya kita ramai-ramai boleh menunaikan fardu subuh bersamanya. Dan bila kita sembahyang berjemaah, jarang sekali Allahyarham yang menjadi imam.

Pada saya, kekuatan Allahyarham Prof. Ahmad adalah pada ilmu yang ada padanya, dan kesanggupannya untuk terus mengajar dan mendidik orang lain. Allahyarham bukan seorang pemidato (public speaker) yang hebat. Malahan ramai di kalangan bekas pelajarnya yang mampu memberi pidato yang lebih baik daripadanya. Kekuatan Allahyarham bukan pada public speaking. Kekuatan beliau adalah pada penulisannya yang sentiasa mencerminkan ilmu yang ada di dadanya.

Jika kita selidiki latar belakang di sebalik penggubalan berpuluh-puluh enakmen Islam di semua negeri di negara kita ini, kita akan diberitahu peranan Allahyarham Prof. Ahmad. Jika baca makalah undang-undang Islam di mana-mana jurnal undang-undang, kita tak akan dapat lari daripada rencana dan makalah yang dihasilkan olehnya. Jika tanya semua pelajar undang-undang yang lulus dari mana-mana universiti tempatan, kita akan jumpa 'anak didiknya' (sama ada yang diajar olehnya sendiri atau setidak-tidaknya telah mempelajari buku teks yang dihasilkan olehnya).

Bagi pemimpin negara ini, kematian Allahyarham adalah satu kehilangan yang besar. Bagi Mahkamah Syariah di negara ini, pemergiannya sudah pasti susah dicari ganti. Bagi saya, jasadnya sahaja yang sudah tidak ada lagi. Tapi suara Allahyarham, buah fikiran Allahyarham, nasihat Allahyarham, tulisan Allahyarham _ semua ini akan tetap kekal bersama saya hingga ke akhir hayat. Allahyarham Prof. Ahmad tidak akan mati selagi 'anak-anak muridnya' masih hidup.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4RbUOI7LI © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment