Ad

Sunday 11 December 2016

UiTM nama ringkas Universiti Teknologi Mara

ARKIB : 11/11/1999
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Institut Teknologi Mara (ITM) yang dinaikkan taraf sebagai universiti kini rasmi dikenali dengan nama ringkasnya UiTM.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, akronim UiTM dianggap paling sesuai daripada pelbagai cadangan yang diterima sebelum ini bagi singkatan nama Universiti Teknologi Mara itu.

''Akronim UiTM itu menggambarkan bahawa perubahan nama dan status tidak mengubah falsafah penubuhan organisasi ini,'' jelasnya.

Selain itu katanya, akronim UiTM itu juga membolehkan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bernafas lega dengan lenyapnya kemungkinan timbul kekeliruan sekiranya akronim yang sama digunakan untuk ITM.

Najib menyatakan demikian pada majlis pelancaran logo baru UiTM di Kementerian Pendidikan, di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh timbalannya, Datuk Khalid Yunus.

Pada majlis itu, Najib beliau turut mengumumkan pelantikan Rektor UiTM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Zaidee Laidin sebagai Naib Canselor pertama UiTM.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Abdul Rahman Arshad dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdullah.

Beliau seterusnya berkata, perisytiharan menaikkan taraf ITM kepada universiti telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 26 Ogos lalu sekali gus menaikkan imejnya setaraf dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

Najib menambah, menurut akta baru UiTM yang dicadangkan di bawah Seksyen 19 (A), Canselor UiTM ialah Yang diPertuan Agong.

Menurutnya, beliau telah mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada minggu lepas dan baginda telah berkenan untuk menjadi Canselor UiTM yang pertama.

Najib berkata, sungguhpun institut ini sudah bergelar universiti, UiTM terus berperanan untuk mengendalikan majoriti kursus-kursus peringkat diploma.

Sementara itu Khalid dalam persidangan akhbarnya berkata, UiTM kini muncul sebagai universiti terbesar di negara ini.

''Ini berdasarkan kepada jumlah penuntut UiTM yang menjangkau hampir 70,000 dengan 11 kampus di seluruh negara selain kampus induk di Shah Alam,'' jelasnya.

Beliau yakin jumlah penuntut UiTM akan meningkat kepada 150,000 pada tahun 2005 dan pembinaan kampus cawangannya juga akan bertambah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4SatKPXBq © Utusan Melayu (M) Bhd





No comments:

Post a Comment