Ad

Friday 16 December 2016

'Teratak Za'ba' terbengkalai 4 tahun

ARKIB : 06/03/2000
 
DANIAL Ismail menunjukkan rangka 'Teratak Za'ba' di Batu Kikir, Jempol, semalam. Pembinaan teratak itu tergendala sejak empat tahun lalu.

JEMPOL 5 Mac - Waris Pendeta Zainal Abidin Ahmad (Za'ba), Danial Ismail, 59, kecewa dengan kerajaan negeri kerana masih menangguhkan kerja-kerja pembinaan 'Teratak Za'ba' yang terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Menurut beliau, 'Teratak Za'ba' yang bernilai kira-kira RM600,000 itu mula dibina pada 16 September 1995 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 20 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun setelah empat tahun berlalu, pembinaan teratak tersebut di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, masih belum siap.

Kata Danial, yang kelihatan hanya kerangka kayu sahaja.

Danial memberitahu, kerja-kerja pembinaan teratak itu terhenti beberapa bulan selepas upacara menegak tiang tengah oleh Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, pada 1995.

''Keluarga dan waris Za'ba tidak marah dengan kerajaan negeri cuma rasa terkilan sedikit kerana pembinaan 'Teratak Za'ba' yang diheboh-hebohkan selama ini tidak dapat direalisasikan,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Danial berkata, lebih mengecewakan lagi apabila sehingga kini tiada tanda-tanda yang menunjukkan kerja-kerja pembinaan teratak itu akan diteruskan.

Tambah beliau, seluruh ahli keluarga Za'ba terusik hati setiap kali melihat keadaan tapak kawasan pembinaan 'Teratak Za'ba' yang terbiar semak dan sepi.

''Bahkan kadang-kadang kawasan persekitaran tapak Teratak Za'ba kerap dilihat menjadi tempat berkeliaran lembu-lembu ternakan penduduk kampung,'' katanya.

Malah apa yang membimbangkan, kebanyakan kayu cengal yang ditinggalkan berhampiran kawasan di situ semakin berkurangan dipercayai diambil orang.

''Kita juga khuatir sebahagian kerangka kayu yang telah dibina akan dimakan anai-anai sekiranya tidak ada usaha diambil untuk meneruskan semula projek ini,'' tambah Danial.

Menurut beliau, keluarga dan waris Za'ba tidak pernah diberitahu atau dimaklumkan oleh wakil kerajaan negeri tentang kelewatan pembinaan 'Teratak Za'ba'.

''Kita memang tidak pernah diberitahu punca kelewatan pembinaan teratak ini.

''Cuma dengar khabar, kontraktor yang dilantik tidak dapat mencari kayu cengal seperti yang dipersetujui oleh kerajaan negeri,'' katanya.

Beliau masih menaruh harapan agar kerajaan negeri dapat meneruskan projek tersebut.

''Teruskanlah semula kerja-kerja yang tergendala kerana pembinaan 'Teratak Za'ba' ini mempunyai makna tersendiri buat seluruh keluarga Allahyarham dan penduduk kampung ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4T3EHhv2B © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment