Ad

Sunday 25 December 2016

AGAMA DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT ARAB JAHILIAH

OLEH-AHMAD YAAKOB
Kepercayaan kepada agama terbahagi kepada dua, iaitu agama samawi (agama langit) yang diturunkan Allah SWT melalui nabi-nabi dan mempunyai kitab dan agama ciptaan yang direka oleh menusia sendiri.[1]

Kesesatan agama dalam kalangan masyarakat jahiliah mempunyai hubungan rapat dengan ketiadaan petunjuk dan pedoman daripada kitab suci dan rasul pada waktu itu sehingga mereka tunduk kepada kuasa berhala dan menganut agama berhala (wathani).

       Di samping agama berhala, terdapat juga agama-agama lain seperti agama Majusi, Nasrani dan Yahudi yang telah diselewengkan,tetapi bilangan penganutnya amatlah kecil.
Pengaruh asing menjadi faktor pendorong penyebaran pelbagai agama di Semenanjung Tanah Arab kerana hubungannya dengan dunia luar melalui perdagangan, hubungan diplomatik dan
kegiatan-kegiatan agama. Dua kuasa besar, iaitu Parsi dan Byzantine berlumba-lumba untuk menyebarkan agama masing-masing. Parsi menyebarkan agama Majusi sementara Byzantine menyebarkan agama Nasrani.

       Walau bagaimanapun, sebahagian besar kaum Badwi di kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab masih menyembah berhala. Terdapat lima golongan beragama dalam kalangan masyarakat
Arab, iaitu:
(a) menyembah berhalal wathani.
(b) menyembah api/Majusi.
(c) Nasrani/Kristian.
(d) Yahudi.
(e) Hanif/Samawi.Pengikut agama Hanif, iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.[2]
Agama menyembah berhala merupakan agama yang dominan dalam kalangan masyarakat Arab.Orang yang mula-mula memperkenalkan agama menyembah berhala ialah Umar bin Luai. Berhala tersebut dibawa dari Syam lalu diletakkan di sekeliling Kaabah dan disembah. Berhala-berhala yang disembah diperbuat daripada batu, kayu dan logam sama ada berbentuk asli atau replika.Pusat agama berhala terletak di kota Makkah. Pada waktu itu di sekeliling Kaabah terdapat kira-kira 360 buah berhala.Berhala-berhala yang terkenal di Makkah ialah al-Uzza, al-Latta dan al-Manat.

       Agama Majusi berasal dari Parsi.Mereka tidak mempunyai kitab dan tidak mengakui nabi yang diutus oleh Allah SWT.Penganut agama Majusi mempercayai dua tuhan, iaitu tuhan yang baik dan tuhan Yang jahat.Mereka juga percaya kepada dua konsep api, iaitu api sebagai penerang dan api sebagai pemusnah. Agama ini terbahagi kepada tiga mazhab yang besar, iaitu Kayumarthiyah, Zarwaniyah dan Zaradusshitiyah.

       Agama Yahudi ialah agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. yang diutus kepadanya kitab Taurat.penganut agama Yahudi, iaitu Bani Israel telah mengubah isi kandungan kitab Taurat dan Allah SWT telah melaknat mereka.

       Agama Nasrani (Kristian) dibawa oleh Nabi Isa a.s. yang diturunkan kepadanya kitab suci Injil.Kaumnya juga telah mengubah isi kandungan kitab ini.Agama Nasrani dikembangkan ke utara Semenanjung Tanah Arab menerusi penduduk Ghassan dan Hirah, di sebelah selatan pula menerusi penduduk Habsyah pada abad ke-6 M.

       Segelintir orang Arab menganut agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s.. Mereka digelar Hunafa (Muslim) dan mentauhidkan Allah SWT.

Kepercayaan animisme
Bentuk kepercayaan masyarakat jahiliah terbahagi kepada dua, iaitu kepercayaan beragama dan kepercayaan animisme.Sebahagian masyarakat jahiliah yang tidak beragama mengamalkan kepercayaan animisme.Antara amalan animisme masyarakat jahiliah ialah memuja roh, penunggu atau kuasa ghaib, menyembah objek-objek seperti batu atau pokok-pokok yang besar, api dan sebagainya.

       Masyarakat jahiliah juga memuja matahari, bulan dan bintang kerana menganggap cakerawala mempunyai kuasa dalam kehidupan mereka. Mereka percaya bahawa matahari membolehkan tumbuh-tumbuhan hidup, manakala bulan dan bintang pula menjadi petunjuk dalam perjalanan pada waktu malam.

Golongan masyarakat jahiliah yang menyembah Tuhan Padang Pasir pula dikenali sebagai ahl al-Saf.Amalan yang dilakukan oleh golongan ini ialah berjalan-jalan di padang pasir pada waktu malam sambil menyanyi, bergendang dan membawa unggun api.

       Selain itu, terdapat juga masyarakat jahiliah yang mengamalkan ajaran sihir dengan menyembah jin dan dewa-dewa.Manakala ada pula segolongan masyarakat jahiliah yang
menyembah malaikat lelaki dan perempuan kerana dianggap sebagai perantara.Masyarakat jahiliah juga mempunyai kepercayaan tradisi yang berunsur tahayul seperti menilik nasib,sangka baik dan sangka buruk dengan isyarat-isyarat tertentu, mempercayai kuasa azimat tangkal dan ahli nujum.Kedatangan Islam telah mengubah corak kehidupan masyarakat jahiliah bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi ketamadunan fizikal dan mental.




[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2015), 8.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),5.

No comments:

Post a Comment