Ad

Saturday 24 December 2016

PENERBITAN AKHBAR MELAYU TAHAP KETIGA 1926 -1941

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Pada tahap ketiga, iaitu antara tahun 1926 hingga Perang Dunia Kedua, “…33 buah akhbar telah diterbitkan.”[1] Noriah Dermawan menyifatkan, “…tahun 1930-an adalah zaman keemasan di dalam perkembangan akhbar Melayu.”[2] Bagi Roff zaman ini adalah zaman akhbar-akhbar besar iaitu “…Warta Malaya, Lembaga, Majlis dan Utusan Melayu.[3] Akhbar-akhbar ini merupakan akhbar, “… “metropolitant” akhbar yang dianggap berpengaruh dan mempunyai edaran ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan singapura.”[4]

      Sementara itu,menurut W.R. Roff, pada tahun 1930-an peranan Singapura sebagai nadi kewartawanan  mula  merosot  dan  kegiatan kewartawanan mula berpusat di Tanah Melayu. Akhbar mula diterbitkan untuk  mendapat  keuntungan  dan mula terdapat wartawan yang bekerja sepenuh masa seperti Ishak Hj. Muhammad. Manakala bidang “…kewartawanan menjadi satu mata pencarian dan orang-orang surat khabar seperti Onn Jaafar, Othman Kalam dan Abdul Rahim Kajai telah menjadi nama-nama yang terkenal.”[5] Datok Onn pula telah muncul sebagai tokoh nasionalis yang memimpin akhbar Warta Malaya[6]  dan Lembaga  Malaya.[7] 

      Melalui  akhbar-akhbar tersebut Datok  Onn  mengkritik  dasar  British  secara  lembut  serta  meminta  kerajaan memberi peluang kepada orang Melayu  memengang  jawatan  penting dalam kerajaan. Beliau juga membahaskan isu Melayu, isu  mengembalikan  kuasa  Majlis  Undangan  Negeri Melayu Bersekutu, bahaya  tuntutan  imigran, soal  pendidikan  tinggi  untuk orang-orang Melayu dan kemajuan ekonomi Melayu.[8]

            Akhbar-akhbar terkemuka  seterusnya   ialah  Majlis[9]  dan Utusan   Melayu.[10] Menurut A. Samad Ismail, penubuhan Syarikat Utusan Melayu pada tahun 1939 adalah satu detik penting dalam sejarah orang Melayu Singapura. Ini kerana Utusan Melayu menjadi bukti kejayaan jati diri mereka mendirikan sebuah syarikat yang dimodali dan dikendalikan sendiri oleh orang Melayu.[11] Dari segi kandungan pula Utusan dan Majlis memuatkan  perbincangan  ekonomi,  kedudukan  siasah  di Malaya dan soal hangat  seperti  soal  kerajaan  pusat,  kedudukan  orang   Melayu   dalam perkhidmatan kerajaan, siapa orang Melayu jati dan soal pelajaran.[12] Seterusnya, Kesatuan Melayu Muda pimpinan  Ibrahim Yaakob  telah  menggunakan  akhbar  Warta Malaya dan Majlis untuk menyalurkan perjuangan KMM.[13] Pihak Jepun memberi bantuan kewangan kepada Ibrahim Yaakob  untuk  membeli  akhbar  Warta Malaya yang menjadi alat untuk membangkitkan Semangat anti-British di Malaya.

      Semasa pendudukan Jepun (1941-1945), cuma10 buah akhbar sahaja diterbitkan.[14] Ini kerana Jepun menguasai penerbitan akhbar-akhbar Melayu dan menerbitkan akhbar-akhbar Jepun sendiri untuk menyiarkan propaganda menyokong Jepun. Akhbar yang selaras dengan kehendak Jepun sahaja boleh diterbitkan. Contohnya Majlis menerbitkan akhbar Perubahan Baru,manakala dipercetakan Utusan Melayu pula dikeluarkan Warta Malai. [15] Menurut Noriah,di Perak diterbitkan dua buah akhbar iaitu, Chahaya Timur dan Berita Perak. Di Pulau Pinang diterbitkan akhbar Penang Shimbun Sha dan Pancaran Matahari. Manakala di Kuala Lumpur diterbitkan akhbar Perubahan Baru dan  Berita Malai.[16]

Selepas perang, akhbar Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara memainkan peranan utama untuk membangkit semangat penduduk Malaya bagi menentang Malayan Union. Penentangan ini berpunca dari “penghapusan kedaulatan dan kuasa      -kuasa sultan dan pemberian kerakyatan kepada imigran menerusi prinsip jus soli”.[17]  Antara tahun 1946 hingga 1955 akhbar-akhbar utama di Malaya seperti Utusan Melayu, Majlis, Warta Negara dan Pengasuh banyak menumpukan kepada soal perkembangan UMNO dan soal kemerdekaan.[18]

      Selain daripada membahaskan  kepincangan ekonomi dan sosial serta kegiatan politik orang Melayu, akhbar juga turut  memuatkan penulisan pensejarahan Melayu. Contohnya pada akhir  abad  ke-19 terdapat  dua buah akhbar yang menyiarkan makalah sejarah iaitu Tanjong  Penegeri  dan  Pemimpin  Warta.[19] Seterusnya  antara  tahun 1900 hingga 1920. Jumlah akhbar yang memuatkan penulisan pensejarahan meningkat dari dua kepada enam buah. Contohnya Chahaya Pulau Pinang, Taman Pengetahuan, Neraca, Lembaga Melayu, Lidah Teruna dan Pengasuh.[20]

            Pada tahun 1920 hingga 1955 kesedaran sejarah di kalangan golongan intelegentsia semakin meningkat sehingga kebanyakkan daripada akhbar-akhbar Melayu menyediakan  ruangan  khusus  untuk  sejarah. Berdasarkan  kajian  didapati sebanyak  enam belas buah akhbar  telah  menyiarkan  makalah  pensejarahan  Melayu. Akhbar   bercorak  keislaman seperti  Suara Benar, Lidah Benar dan Pengasuh memberi tumpuan kepada pensejarahan Islam. Manakala akhbar sekular seperti Majlis, Warta Malaya, Warta Ahad dan Lembaga Malaya pula menyiarkan pensejarahan tempatan, Eropah, pensejarahan  biografi,  politik,  sosial dan ekonomi.

      Dari segi penerbitan persuratkahabaran Melayu pula, Singapura menduduki tempat pertama dengan menerbitkan 15 buah akhbar, sementara Pulau Pinang 10 buah akhbar serta Perak 5 buah akhbar. Manakala Kelantan menduduki tempat kelima dengan menerbitkan 3 buah akhbar.[21] Kelantan juga muncul sebagai penerbit majalah kelima banyaknya dalam tempoh tahun 1876 sehingga 1941 di Tanah Melayu, iaitu “…menerbitkan 16 judul…”.[22]





              [1]ibid., hlm.22.
              [2]ibid., hlm.22.
              [3]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu,hlm.38.
              [4]Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an ,hlm.22.
              [5] William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, hlm.38
[6]Diterbitkan Januari 1930 di Singapura.

[7]Diterbitkan di Singapura pada Disember 1934.

[8]W. R. Roff, Nasionalisma Melayu, hlm. 214.

[9]Majlis diterbitkan di Kuala Lumpur pada tahun 1931-1941 dan pengarang pertama ialah Abdul Rahim Kajai.

[10]Utusan Melayu  diterbitkan  pada 29 Mei 1939 oleh Yusof Ishak, Embok Suloh dan Daud Md.  Syah dan Rahim  Kajai menjadi penyunting pertama.

              [11] A.Samad Ismail, Siapa Sebenarnya Pak Sako?, Utusan Malaysia, 16 September,1996, hlm.7.
[12]W. R.  Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, hlm.  38

[13]KMM ditubuhkan oleh Ibrahim Yaakob pada Ogos 1938  dan berjuang untuk menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia.

              [14] Noriah Dermawan, Sejarah Akhbar-Akhbar Melayu di Perak 1893-1940-an,hlm.31.
              [15] ibid., hlm.31
              [16]ibid., hlm.33.
[17]Abdul Hamid Ahmad, Penentangan Orang-Orang Melayu Terhadap Malayan Union, Mini Tesis Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala  Lumpur, 1979/1980, hlm.  11.

[18]Hari Yang Bersejarah, Pengasuh, Bil.  264, 31 Julai, 1954, hlm.  18.

[19]Antara makalah sejarah yang di siarkan ialah sejarah tempatan dan Peperangan Turki dan Greece.

[20]Pengasuh  melalui  ruangan  “Tarikh”,  “Ruangan  Hikayat”,  ”Rencana”,  ”Adakah   Engkau  Tahu”,  Rampaian Pengetahuan”  dan “Sudut Riwayat”  telah  menyiarkan banyak penulisan pensejarahan Islam, tempatan,  poltik, sosial dan  ekonomi.

               [21]Muhammad bin Dato’ Muda, “Tarikh Akhbar-Akhbar dan Majalah Keluaran Semenanjung Tanah Melayu, Majalah Guru, XVI, 1938, hlm.400.
              [22]A.Aziz Deraman, “Kelantan: di Antara Serambi Dunia Persuratan Melayu” ,Seminar Sehari Majalah Pengasuh, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Kota Bharu, 15 Julai 2000, hlm.4.

No comments:

Post a Comment