Ad

Friday 20 November 2015

Rentak skuad Malaysia ada peningkatan – Kim Swee

PEMAIN skuad bola sepak negara telah menunjukkan persefahaman yang baik terutama di jentera pertahanan walaupun mereka tewas 1-2 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Demikian rumusan daripada jurulatih sementara skuad negara, Datuk Ong Kim Swee selepas berakhir aksi yang berlangsung di stadium tanpa kehadiran penonton itu.

Menurut Kim Swee, skuad kendaliannya itu telah menunjukkan disiplin tinggi ketika bertahan dan berjaya mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi dengan le­bih teruk oleh UAE berbanding aksi pertama di Abu Dhabi pada 3 September lalu yang menyaksikan skuad negara tewas 0-10.

“Perkara mustahak sekarang ialah para pemain telah menunjukkan persefahaman semasa bertahan sebagai satu unit. Kita sedia maklum bahawa UAE merupakan sebuah pasukan yang cukup kuat dan sudah tentu kita cuba mempertahankan gawang daripada dibolosi.

“Saya tidak cakap gaya permainan pasukan negara seratus peratus berhasil, tetapi kita telah menunjukkan kemampuan jika kita betul-betul berdisiplin ketika bertahan.

“Jadi, ini satu tugasan yang cukup mencabar dan kita telah melakukan yang terbaik untuk mengekang kemaraan sebuah pasukan yang hebat seperti UAE,” kata Kim Swee pada sidang akhbar selepas perlawanan malam kelmarin.

Jaringan menarik daripada Omar Abdulrahman pada (M-20) dan kapten UAE, Ahmed Khalil pada minit ke-51 membantu pasukan dari Timur Tengah itu membawa pulang tiga mata berharga. Jari­ngan tunggal skuad negara dihasilkan oleh Baddrol Bakhtiar yang menanduk masuk bola sepakan percuma daripada kapten, Safiq Rahim pada minit ke-58.

Kim Swee yang mengakui berasa janggal bermain di stadium kosong tanpa penyokong berkata, pemain perlu menunjukkan prestasi yang konsisten dalam setiap perlawanan, terutamanya apabila bermain menentang pasukan lebih kuat di tempat lawan.

“Keputusan-keputusan sebelum ini menyukarkan pemain untuk bermain dengan tekanan-tekanan daripada banyak pihak dan yang penting di sini kita perlu membina pasukan jika mahu berhasrat untuk memberi saingan pada masa hadapan.

“Kita tidak boleh menoleh ke belakang tetapi harus mencari jalan penyelesaian untuk memantapkan pasukan,” katanya.

Skuad negara sebelum ini pernah dibelasah 10-0 oleh UAE pada kempen kelayakan ini selain dimalukan 6-0 oleh Palestin sebanyak dua kali.

Sementara itu, kapten pasukan, Safiq Rahim berharap semua rakan sepasukannya dapat meneruskan momentum cemerlang dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

“Kita sedia maklum bahawa UAE merupakan antara pasukan terbaik di Asia, namun kita dapat mengekang asakan mereka pada malam ini (kelmarin). Kita cuba baiki dan cuba dapat keputusan yang baik. Saya rasa puas hati kita dapat menunjukkan satu aksi yang baik, cuma keputusan tak berpihak kepada pasukan negara.

“Dengan cara permainan kita pada malam ini (kelmarin), kita punya moral dan kekuatan mental juga semakin pulih. Sebenarnya penyokong adalah penting bagi semua pemain dan pada setiap perlawanan kita mahukan sorakan penyokong, mungkin kalau ada penyokong pada perlawanan malam ini (kelmarin), kita mungkin mampu mempamerkan aksi yang lebih baik,” kata Safiq.

Malaysia kini menduduki tempat keempat dalam Kumpulan A dengan mengutip empat mata selepas mengharungi tujuh perlawanan, manakala Arab Saudi yang membenam Timor Leste 10-0 kelmarin terus menerajui kedudukan dengan 16 mata, diikuti UAE (13 mata) dan Pa­lestin (9 mata), manakala Timor Leste menduduki tangga tercorot dengan dua mata.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Malaysia akan berkunjung ke Arab Saudi pada 24 Mac tahun depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3rtlOBYnn Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment