Ad

Friday, 13 November 2015

Bola sepak Malaysia tak berubah selepas 30 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 NOVEMBER 2015
 harimau malaya
harimau malaya Penyerang Palestin, Ashraf Al-Fawaghra mengasari Kapten Malaysia, Safiq Rahim ketika saingan kumpulan A, pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Amman, Jordan, malam tadi. - Foto AFP

PUNCA Malaysia ketandusan pemain berbakat yang setanding dengan pemain antarabangsa adalah disebabkan kurangnya liga bola sepak amatur dan liga separuh profesional, menurut bekas pemain kebangsaan.

Bintang bola sepak era 70 dan 80-an, Khalid Ali, berkata walaupun selepas 30 tahun, standard bola sepak negara masih di takuk lama dan tiada penambahbaikan ketara dilihat bagi membolehkan prestasinya terus meningkat.

Menurutnya, melalui program daripada peringkat akar umbi seperti liga amatur dan liga separuh profesional, lebih banyak bakat baharu dapat dicungkil untuk dipilih mewakili skuad kebangsaan.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia perlu meluaskan lagi pencarian bakat baharu untuk masa depan bola sepak negara," katanya ketika mengulas kekalahan 6-0 oleh skuad Harimau Malaya kepada Palestin pada saingan kumpulan A, pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Amman, Jordan, malam tadi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Palestin tumpaskan Malaysia 6-0 ]

Khalid berkata, kekalahan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu sudah diramalkan tetapi tidak menjangka dengan bilangan jaringan yang memalukan.

"Memang saya serta seluruh peminat bola sepak negara sudah jangka kita akan kalah tapi dengan perbezaan yang sedikit. Selaku peminat bola sepak dan bekas pemain, saya akui ada rasa kecewa," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Kim Swee, selaku jurulatih sementara, telah melakukan sedikit penambaihbaikan dan pembaharuan dalam corak permainan namun ternyata usahanya itu tidak dapat memberikan hasil yang lebih positif.

Justeru, beliau berpendapat negara belum bersedia untuk mengadakan liga profesional kerana ia gagal melahirkan pemain tempatan yang setanding dengan pemain antarabangsa.

Di samping itu, katanya, liga profesional negara turut diselubungi pelbagai masalah pengurusan termasuk isu pembayaran gaji kepada pemain dan jurulatih.

Sementara itu, pengulas sukan terkenal tanah air, Zainal Abidin Rawop berkata, punca kekalahan kepada Palestin itu disebabkan sikap pemain yang terbawa-bawa dengan kekalahan aksi kedua di Stadium Bukit Jalil yang berakhir dengan keputusan  sama.

Beliau berkata, pada 30 minit pertama perlawanan malam tadi, Malaysia bermain dengan disiplin yang tinggi namun hilang fokus sehingga Palestin dapat membolosi benteng pertahanan Harimau Malaya.

"Palestin mendapat gol mudah. Pertahanan kita dilihat mudah dibolosi, mereka hilang 'kepimpinan' di bahagian pertahanan. Selepas satu gol, pertahanan kita lebih mudah dibolosi," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan berdepan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam pada Selasa ini, Zainal Abidin mengakui beliau khuatir Harimau Malaya lambat bangkit daripada kekalahan di Jordan sehingga menjejaskan perlawanan seterusnya.

Secara peribadi, katanya pasukan UAE bakal mempamerkan perlawanan yang lebih pantas dan lebih baik berbanding corak permainan pasukan Arab Saudi.

Selepas kunjungan UAE, Malaysia bakal berkunjung ke Arab Saudi pada aksi terakhir kumpulan A, Mac tahun hadapan. – Bernama

Sumber-Sinar Harian online 13.1.2015

No comments:

Post a Comment