PENGENALAN
Revolusi
perindustrian di Jerman berlaku pada tahap kedua di Eropah, iaitu berlakunya
selepas Revolusi Perindustrian di England. Revolusi di Jerman bermula pada
tahun 1860an hingga 1914. Bagi memajukan perindustrian, kerajaan Jerman telah
memberikan tumpuan untuk memajukan kemudahan infranstruktur seperti sistem
pengangkutan dan komunikasi. Kepesatan dalam bidang industri telah membawa
kesan yang besar ke atas masyarakat di Jerman. Perubahan –perubahan yang
berlaku telah mengubah ciri masyarakat daripada
feudal kepada masyarakat industri. Antara ciri masyarakat industri di
Jerman ialah lahirnya masyarakat urban, muncul kelas masyarakat baru, berlakunya
mobiliti sosial, lahir masyarakat berpendidikan, munculnya masyarakat yang
mempunyai pengkhususan pekerjaan, masyarakat yang memberikan tumpuan kepada
kegiatan ekonomi berasaskan industri, perubahan gaya hidup masyarakat dan masyarakat yang mempunyai semangat
keusahawanan.
ISI
1.
Masyarakat Urban /Bandar
Masyarakat industri ialah masyarakat yang tinggal di
bandar-bandar seperti
London , Manchester, Liverpool dan Munich. Dalam hal ini, selepas
berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah, masyarakat luar bandar telah
berhijrah secara beramai-ramai ke bandar-bandar dan mereka bekerja di
kilang-kilang. Fenomena ini menyebabkan kemunculan proses pembandaran khususnya
di bandar-bandar perindustrian. Per kembangan ini menyebabkan berlaku per
tambahan penduduk secara mendadak di kawasan-kawasan bandar. Kesannya,
penghijrahan secara beramai-ramai telah mengakibatkan kesesakan yang teruk di
bandar-bandar industri tersebut.
Revolusi industri telah
memberi impak yang cukup besar terhadap pertumbuhan penduduk di Eropah terutama
nya England. Populasi penduduk Eropah berkembang pada kadar yang perlahan pada
awal kurun ke-18 tetapi mula menunjukkan pertumbuhan yang agak pesat pada tahun
1780. Menjelang kurun ke-18, populasi penduduk Eropah telah meningkat pada
kadar tertinggi. England merupakan contoh terbaik bagi melihat pertumbuhan
positif penduduk ini kerana pada tahun 1688, jumlah penduduk di England
hanyalah 5.5 juta orang tetapi menjelang tahun 1801, populasi penduduk di
England bertambah menjadi 9 juta orang dan pada tahun 1851, jumlah ini
meningkat lagi menjadi 18 juta orang iaitu peningkatan sekali ganda berbanding
50 tahun sebelumnya.
Industrilisasi dan
pertumbuhan penduduk saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Bekalan
makanan dan peluang pekerjaan yang lebih baik menggalakkan orang untuk
berkahwin pada usia yang lebih muda dan memperolehi anak yang ramai. Kadar
kelahiran yang tinggi bermakna jumlah kanak-kanak juga ramai dan seterusnya
menyumbang kepada bekalan buruh kanak-kanak yang menjadi tenaga penting di
lombong-lombong arang batu. Pada kurun ke-19, kanak-kanak yang berusia kurang
daripada 15 tahun adalah seramai 40 peratus daripada penduduk seluruh Britain.
Pertumbuhan penduduk yang pesat di kawasan-kawasan industri Eropah juga
disebabkan oleh proses migrasi yang berlaku. Berjuta-juta orang melakukan
migrasi atau perpindahan semasa berkembangnya revolusi industri dengan ada di
antara mereka yang berpindah dari kampung ke bandar dengan harapan mencari
pekerjaan ataupun mencari kehidupan yang lebih baik.
Sebelum penyatuan Jerman, ¾ daripada penduduk Jerman
menetap di bandar. Hanya terdapat lapan
buah bandar dengan penduduk melebihi 100,000 orang pada tahun 1871 tetapi ianya
telah meningkat kepada 48 buah bandar pada tahun 1910 dan peningkatan ini telah
membantu industri Jerman.
2. Masyarakat Yang Menggunakan Teknologi Moden
Masyarakat di England dan Jerman merupakan masyarakat
yang menggunakan peralatan-peralatan moden
hasil daripada kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Dalam hal ini,
terdapat minat yang mendalam untuk menerapkan unsur-unsur sains dan teknologi
dalam bidang perindustrian dan hal ini memungkinkan pengenalan beberapa rekaan
dan ciptaan peralatan-peralatan moden
seperti mesin-mesin. Penciptaan mesin-mesin ini menyebabkan perkembangan
kegiatan perindustrian di mana hasil hasil ini dipatenkan untuk mengelakkan
peniruan daripada orang lain.
Dalam hal ini,
pelbagai mesin telah direka oleh ahli sains seperti enjin wap yang dihasilkan
daripada penghasilan tenaga wap melalui pembakaran arang batu. Sebagai contoh,
enjin berkuasa wap yang dihasilkan oleh Thomas Newcomen dan James Watt.
Masyarakat Jerman juga telah menghasilkan pelbagai ciptaan baru dan
menjadikannya lebih mudah. Hal ini telah
membantu kelahiran industri berskala besar-besaran kerana ahli kimia Jerman
berpendapat teknik boleh dimajukan tanpa batas. Kesannya, syarikat-syarikat
kimia dan elektrik Jerman memonopoli
penubuhan makmal-makmal penyelidikan yang dilengkapi dengan ahli-ahli kimia dan
fizik di universiti-universiti dan golongan terpelajar inilah yang telah
memberikan sumbangan yang besar kepada kemajuan industri Jerman. Dalam hal ini,
para saintis Jerman telah mencipta pelbagai peralatan baru dan pekembangan ini
membolehkan Jerman memimpin dunia dalam industri kimia dan elektrik pada akhir
abad ke 19.
3.
Masyarakat Yang Berkerja di Kilang-Kilang
Revolusi Perindustrian
yang bermula di England juga telah menyebabkan perubahan pekerja dan
keadaan kerja di kilang-kilang di
Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah kebanyakan golongan bawahan
masyarakat Eropah berkerja sebagai petani dan mereka dikongkong oleh tuan
tanah. Menjelang Revolusi Perindustrian keadaan ini berubah kerana pada masa
itu golongan bawahan yang tertindas kebanyakan bukan berkerja sebagai petani
tetapi mereka yang berkerja di kilang-kilang yang pesat dibangunkan ketika itu.
Pada kebiasaanya, seorang pekerja kilang berkerja selama 12 jam sehari dan enam
jam tiga puluh minit pada setiap hari minggu. Manakala upah yang dibayar kepada
pekerja-pekerja ini hanya mencukupi untuk mengisi perut. Keadaan ini membawa
kesan yang buruk kepada masyarakat bawahan di Eropah kerana mereka bukan sahaja
tidak berpeluang untuk memperbaiki hidup tetapi terus berada dalam keadaan
terhimpit dan dibelenggu kemiskinan.
Penindasan terhadap
golongan bawahan pada ketika itu adalah amat teruk. Masa berkerja yang terlalu
lama dan masa rehat yang singkat menyebabkan kebanyakan pekerja, khususnya
kanak-kanak berasa amat letih dan ada yang terjatuh ke dalam mesin lalu
terbunuh. Kanak-kanak yang menjadi buruh juga berkerja dalam suasana yang gelap
dan berbahaya di dalam lombong arang batu. Tempat tinggal yang disediakan oleh
pengusaha kilang kepada pekerja mereka juga adalah amat teruk. Nasib golongan
para pekerja kilang ini hanya terbela pada awal tahun 1790. Pada ketika itu
kadar penindasan terhadap golongan bawahan mula bekurangan dan pada 1802
Parlimen telah melarang dan mengharamkan penindasan terhadap golongan bawahan.
Pada ketika itu juga, mula muncul beberapa majikan dan golongan sosial reformis
yang memperjuangkan nasib para kanak-kanak dan buruh-buruh yang ditindas oleh
majikan mereka. Mereka mula mempersoalkan tentang nasib golongan yang tertindas
dan menuntut piawaian kemanusiaan diwujudkan.
Dalam memperjuangkan nasib pekerja-pekerja
kilang golongan ini juga menggunakaan risalah-risalah kepada masyarkat umum di
Eropah bagi menyedarkan mereka tentang penindasan yang berlaku terhadap
golongan bawahan. Di samping itu, golongan reformis sosial juga mendesak
Parlimen di Eropah agar dapat mewujudkan satu sistem perundangan yang
melindungi golongan tertindas khususnya kanak-kanak. Hasil daripada usaha
golongan ini, akhirnya mereka berjaya memperbaiki nasib golongan bawahan dan
pekerja kilang yang ditindas oleh para pengusaha kilang dan lombong.
Pencapaian
terbesar golongan reformis adalah dengan terbentuknya akta kilang 1833. Akta
ini telah menetapkan masa berkerja kanak-kanak yang berusia 9 hingga 13 tahun
adalah 8 jam sehari. Dalam pada itu, golongan remaja yang sebelumnya bekerja 14
hingga 18 jam sehari telah dilonggarkan waktu bekerja nya menjadi 13 jam
sehari. Peraturan tersebut juga melarang semua kilang-kilang mengambil
kanak-kanak yang berusia kurang daripada 9 tahun untuk berkerja. Kanak-kanak
dalam lingkungan usia ini akan didaftarkan di sekolah-sekolah rendah yang
ditubuhkan oleh pengusaha-pengusaha kilang. Akhirnya usaha perjuangan untuk
membela nasib golongan pekerja kilang mula terbela dan secara perahan-lahan
penindasan terhadap golongan tersebut mula berkurangan.
4.
Taraf Hidup Masyarakat
Mengikut Kelas
Masyarakat industri
tergolong kepada dua kelas iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja.
Kelas kapitalis terdiri daripada pemilik kilang, tuan tanah dan pengusaha
lombong. Dalam pada itu, golongan pekerja amat bergantung kepada golongan
kapitalis. Dalam hal ini, pada peringkat awal, proses perindustrian membawa
kesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagai buruh di kilang dan
selepas berlakunya peningkatan dalam pengeluaran, muncul pula golongan
profesionalisme. Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan pekerja
meningkat.
Revolusi Perindustrian
di Eropah juga menyaksikan kemunculan golongan baru dalam hierarki masyarakat
Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian, masyarakat di Eropah terdiri daripada
masyarkat petani tradisional yang meliputi golongan bangsawan dan pemilik
tanah, sekumpulan kecil pedagang dan tukang, dan sekumpulan besar golongan
petani. Golongan kelas pertengahan baru merupakan kelompok penting dalam strata
sosial di Eropah menjelang abad ke-18 dan kemunculan mereka adalah disebabkan
oleh perkembangan revolusi industri pada abad berkenaan. Golongan kelas
pertengahan baru ini termasuklah pemilik kilang, peniaga, ahli-ahli bank,
peguam dan jurutera. Kewujudan mereka ini telah membawa perubahan yang amat
besar dalam sistem hierarki di Eropah. Mereka bukan sahaja menyebabkan
perubahan dalam masyarakat Eropah tetapi golongan ini juga banyak menyumbang
kepada pendapatan ekonomi negara-negara Eropah. Golongan pertengahan ini ber
keinginan mencuba idea baru dan bersedia menerima risiko dalam urusan
perniagaan baru yang diceburi. Semangat dan keberanian golongan pertengahan ini
menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bidang industri di Eropah berkembang
dengan pesat.
Menjelang abad ke-17 dan
ke-18, kemunculan golongan pertengahan atau lebih dikenali sebagai golongan
borjuis telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat di Eropah. Golongan
borjuis atau menengah pada asalnya terdiri daripada kalangan orang bandar yang
bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan, perniagaan
bank, pembuatan, guaman, kedoktoran dan sebagainya. Lama–kelamaan hasil
daripada penglibatan dalam pelbagai bidang golongan ini menyebabkan mereka
dapat mengumpul kekayaan. Dari segi ekonomi golongan kelas pertengahan ini mula
menyaingi kekayaan golongan bangsawan di Eropah. Daripada kekayaan yang mereka
perolehi golongan ini telah membeli banyak tanah di kawasan luar bandar.
Keadaan ini bukan sahaja memberi saingan ekonomi kepada golongan aristokrat
tetapi juga telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat dari segi kuasa
politik.
Pada peringkat awal,
golongan pertengahan di Eropah tidak mempunyai kuasa dalam bidang politik,
tetapi apabila kegiatan perdangangan semakin berkembang, peranan golongan ini
menjadi semakin penting. Dasar merkantlisme yang diamalkan oleh kebanyakan
negara Eropah selepas abad ke-16 juga menyebabkan peranan dan pengaruh golongan
ini semakin berkembang. Pada ketika itu raja-raja di Eropah mula memberi
kerjasama kepada golongan borjuis kerana melalui aktiviti yang dijalankan oleh
golongan tersebut, raja-raja dapat mengukuhkan dan memperkembangkan ekonomi
negara. Perkembangan ini agak ketara
di England, tetapi di negara lain seperti Jerman dan Perancis kedudukan
golongan pertengahan masih lagi lemah pada abad ke-16. Di Perancis walaupun
pengaruh politik golongan pertengahan masih lemah pada abad ke-16, tetapi dari
segi ekonomi pengaruh golongan ini semakin kuat.
5.
Perubahan Sosial Masyarakat Ke Arah Materialistik dan Masalah Sosial
Sebelum zaman revolusi,
masyarakat Eropah merupakan masyarakat yang sangat terikat dengan tradisi
kekeluargaan yang kuat dan kebanyakkan mereka tinggal di kawasan luar bandar.
Mereka hidup secara ringkas dan seadanya dan tidak ada usaha untuk melakukan mobiliti
sosial dan cara hidup mereka yang mudah. Ibu bapa memainkan peranan yang cukup
jelas dalam keluarga dan mereka juga mempunyai hak mutlak dalam menentukan
jodoh anak mereka. Setelah tercetusnya revolusi industri, keadaan tersebut mula
berubah dan golongan muda mula beremigrasi menuju ke kawasan yang giat dengan
kegiatan industri atau kawasan bandar. Ikatan kekeluargaan yang sebelum ini
erat mula menjadi longgar. Keadaan di kawasan bandar melahirkan gaya hidup yang
sangat mencabar. Keadaan ini menyebabkan golongan
yang berada di bandar lebih berdikari dan cekal dalam menghadapi cabaran.
Bakat dan kekayaan
menjadi kayu ukur kepada standard sosial seseorang manakala skala kehidupan
feudal yang bergantung kepada status keturunan untuk sampai ke satu tahap
sosial sudah semakin lemah. Dalam pada itu, kehidupan yang bebas di bandar
mendedahkan penduduknya dengan pelbagai permasalahan sosial yang kritikal
seperti masalah pelacuran dan jenayah berat. Pelacuran menjadi penyakit sosial
di Eropah menjelang abad ke-19 dan di Vienna sahaja terdapat lebih 15,000 orang
pelacur manakala di Perancis pula, pelacur memiliki lesen perniagaan dengan
jumlah pelacur menjangkau 50,000 orang pelacur; dan London 80,000 orang
pelacur. Golongan wanita menjadi golongan yang begitu rendah kedudukannya dalam
carta sosial di zaman revolusi industri.
Sebelum revolusi
industri isteri para pegadang boleh bergiat aktif dalam perniagaan tetapi
setelah revolusi industri mereka adalah ditegah daripada terlibat dengan
sebarang aktiviti perniagaan dan mereka hanya perlu bertanggungjawab terhadap
rumah tangga, hamba-hamba, pendidikan anak-anak dan kehidupan sosial keluarga.
Golongan pelabur menjadi golongan penting dalam zaman revolusi industri kerana
mereka berperanan sebagai penjana ekonomi kerajaan. Golongan ini juga menjadi
pendukung aktiviti penjelajahan dan penerokaan ke Timur dengan menyediakan
modal untuk tujuan ekonomi.
6. Masyarakat Literasi
Masyarakat industri juga merupakan masyarakat yang
mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan. Oleh yang demikian, mereka
terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dalam kehidupan seharian mereka dan
masyarakat ini menggunakan ilmu secara sistematik dan teratur untuk merancang
tugas dan menjalankan aktiviti sosial yang lain.
7. Masyarakat Keusahawanan
Semangat keusahawanan dalam kalangan tokoh-tokoh
perindustrian membantu perkembangan industri di England. Semangat keusahawanan
ini menentukan daya kreativiti dan inovatif tokoh-tokoh perindustrian. Antara
tokoh-tokoh yang memiliki sifat-sifat ini seperti James Watt dan Matthew
Boulton. Sebagai contoh, James Watt telah memperbaiki enjin ciptaan Thomas
Newcomen pada 1763 dan enjin tersebut berupaya menghasilkan tenaga wap yang
lebih berkesan. Dalam hal ini, James Watt telah menubuhkan syarikat usahasama
dengan Matthew Boulton dan syarikat itu telah mengeluarkan enjin berkuasa untuk
pasaran domestik dan antarabangsa. Dalam hal ini, ramai pengusaha kaya di
England yang mampu membeli mesin-mesin baru untuk kilang-kilang mereka.
Manakala di Jerman pula, industri perkapalan dimajukan di Bremen, Hamburg,
Stettin, Danziq dan Elby. Selepas tahun 1880, berlaku peningkatan dalam
pembinaan kapal wap dan jumlah muatan juga meningkat.
8. Perubahan Politik Dalam
Masyarakat
Akibat daripada kemunculan beberapa golongan
baru iaitu golongan pertengahan atau borjuis dan golongan pekerja atau
proletariat pada zaman industri maka pemikiran politik masyarakat Eropah
menjadi lebih terbuka yang akhirnya mencambahkan idea-idea politik yang baru.
Golongan pertama atau kelas pertengahan merupakan golongan yang sentiasa
menambahkan kekayaan dan kekuasaan. Manakala golongan pekerja atau proletariat
adalah tidak terurus dan berada dalam kemiskinan. Akibat kemiskinan dalam
kalangan golongan pekerja mula terdapat golongan yang mempercayai bahawa
golongan kaya mengeksploit golongan miskin dan golongan ini merupakan golongan
yang memiliki sebahagian besar daripada sumber kekayaan dalam masyarakat.
Golongan ini telah mendesak kerajaan di Eropah supaya campur tangan dalam
perdagangan dan industri bagi membendung penindasan yang berlaku terhadap
golongan proletariat dan seterusnya melahirkan masyarakat yang adil. Perjuangan
golongan ini akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman sosialisme.
Fahaman sosialis ini
berpendapat persamaan dari segi sivil dan politik tidak bermakna tanpa
persamaan dalam bidang ekonomi. Pada
peringkat awal terdapat penganut sosialisme ini terbahagi kepada dua. Perbezaan
kedua-dua penganut ini bukanlah dari segi matlamat akhir tetapi berbeza dari
segi teknik bagi mencapai matlamat. Kumpulan pertama lebih mementingkan cara
damai bagi mencapai matlamat mereka. Golongan ini menetang pemusatan kuasa di
dalam pemerintahan dan menaruh kepercayaan kuat kepada manusia untuk menguruskan
kemasyarakatan. Golongan ini juga percaya bahawa revolusi industri boleh
membawa kepada zaman kemakmuran. Berpandukan keyakinan ini, maka mereka
mengagungkan pekerjaan dan pekerja, serta memandang rendah terhadap golongan
yang menyara hidup tanpa berkerja dengan tulang empat kerat. Kumpulan ini
diwakili oleh pemikir seperti Saint Simon, Cabet dan Fourier.
Kumpulan kedua merupakan
kumpulan yang menggunakan rampasan kuasa sebagai suatu taktik politik yang sah
bagi mempraktikkan kepercayaan mereka. Golongan ini juga menyokong campur
tangan kerajaan dalam urusan ekonomi bagi menjamin hak dan keselesaan hidup
kaum pekerja yang selama ini ditindas oleh pengusaha kilang dan lombong. Para
pemimpin utama kumpulan ini terdiri daripada Babeuf (1760-1797), Bounarotti
(1761-1837), Louis Augute Blanqui (1805-1881) dan Louis Blanc (1811-1822).
Golongan ini merupakan golongan yang betul-betul berazam untuk mengubah
peraturan sosioekonomi dan politik di Eropah pada masa revolusi-revolusi 1848.
Lanjutan daripada tradisi sosialis akhirnya
membawa kepada kemunculan fahaman Marxisme atau Komunis. Marx adalah ahli
sosialis pertama yang menerangkan politik dan sejarah dalam konteks ekonomi.
Menurut Marx semua masyarkat manusia melalui tahap yang sama dalam perkembangan
sejarah. Setiap tahap tersebut ditandakan oleh perubahan dalam kaedah
pengeluaran dan pergelutan antara kelas masyarakat iaitu antara pemerintah dan
yang diperintah. Idea utama yang didukung oleh Marx ialah teori materialisme.
Teori tersebut menyatakan keadaan ekonomi sesebuah masyarakat akan menentukan
bentuk institusi yang terbaik, negara, undang-undang, dan agama dalam
masyarakat. Oleh itu, sebarang perubahan dalam bidang ekonomi akan turut
mempengaruhi sesuatu institusi. Dalam hal ini perjuangan kelas untuk mengawal
punca-punca pengeluaran akan membawa masyarakat kepada kedudukan yang lebih
tinggi dan keadaan ini akan menyebabkan berlakunya revolusi.
Selain itu, Marx turut
menyatakan bahawa pertentangan antara kelas masyarakat adalah sesuatu yang
tidak dapat dielakkan dalam golongan pertengahan kerana golongan tersebut
sentiasa memburu keuntungan. Bagi mendapatkan keuntungan golongan pertengahan
akan menindas golongan proletariat. Manakala puak proletariat pula akan bersatu
untuk mempertahakan diri dan kemudianya akan mampu membentuk sebuah masyarakat
tanpa kelas ataupun masyarakat komunis.
Kemunculan fahaman baru
dalam pemikiran politik ini telah menyebabkan berlaku berlaku pertelingkahan
antara masyarakat Eropah. Keadaan ini berpunca daripada fahaman antara beberapa
pihak yang cuba untuk memperbaiki beberapa golongan khususnya golongan pekerja
di Eropah. Dalam hal ini, Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah bukan
sahaja membawa impak yang menyebabkan perubahan dalam pemikiran politik di
Eropah tetapi turut membawa kepada perjuangan golongan pekerja dalam politik
untuk memperbaiki kehidupan mereka.
9.
Masyarakat Kapitalis / Pemodal
Terdapat modal yang mencukupi untuk pelaburan dalam
sektor perindustrian di England di mana kerajaan England memiliki modal yang
banyak yang dipusatkan di Bank of England. Kemunculan institusi perbankan
menyebabkan terdapat kemudahan pinjaman bagi membiayai projek-projek
perindustrian. Dalam pada itu, Revolusi Pertanian menyebabkan muncul
peladang-peladang yang kaya dan peladang-peladang ini sanggup melaburkan
lebihan modal dalam sektor
perindustrian. Di Jerman, koperasi
ditubuhkan untuk memberi bantuan kewangan di kawasan luar bandar. Persatuan
Kredit Schulze Delitzsch ditubuhkan untuk menyediakan bantuan kewangan bagi
penduduk bandar.
Pada tahun 1911, terdapat 25,000 kesatuan kredit di
Jerman dengan empat juta ahli. Menjelang pertengahan kedua abad ke 19 masihi,
telah muncul Bank Joint Stock Baru di Jerman yang menbantu dalam perkembangan
industri moden yang memerlukan modal bersifat boleh digerakkan.
10.
Kemunculan Golongan Proletariat
Selain daripada kemunculan kelas pertengahan, Revolusi
Perindustrian di Eropah juga telah melahirkan golongan kelas pekerja kilang dan
lombong yang dikenali sebagai proletariat. Golongan proletariat ini terdiri
daripada penganggur, pemintal dan penenun. Pada zaman Revolusi Perindustrian
mesin yang pada asalnya dikerjakan oleh golongan proletariat dengan menggunakan
tenaga mereka tidak lagi diperlukan. Sebaliknya mesin pada zaman Revolusi
Perindustrian yang menggunakan kuasa wap telah mengambil alih peranan
sebahagian besar golongan ini. Oleh itu, golongan tersebut hanya mampu
menawarkan tenaga buruh. Akibatnya, menjelang penghujung abad ke-18 dan ke-19
golongan proletariat tadi dibayar gaji yang amat rendah kerana mesin telah
menggantikan kerja-kerja yang dijalankan oleh golongan tersebut sebelum
ini. Di Britain dan negara-negara
Eropah yang lain walaupun golongan ini berkerja lebih masa dari yang sepatutnya
mereka tetap tidak dapat mengatasi masalah kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan
golongan para pekerja ataupun golongan proletariat berada dalam kemiskinan
walaupun pada ketika itu Eropah berada pada zaman Revolusi Industri.
KESIMPULAN
Revolusi industri yang melanda Eropah pada
abad ke-18 dan ke-19 telah membawa pelbagai impak terhadap perkembangan
ekonomi, sosial, dan politik masyarakat Eropah. Sebelum revolusi industri,
kegiatan ekonomi masyarakat Eropah masih lagi berpusatkan kepada pertanian
ataupun industri primer. Namun demikian, setelah tercetusnya revolusi industri,
masyarakat Eropah mula mengorak langkah ke arah penglibatan dalam kegiatan
ekonomi yang lebih pelbagai dan pada ketika ini industri sekunder dan sektor
ekonomi yang melibatkan perlombongan dan perkilangan semakin berkembang maju.
Perkembangan positif dalam kedua-dua sektor ekonomi tersebut akhirnya turut
mempengaruhi perkembangan sosial dan politik di Eropah.
No comments:
Post a Comment