AHAD, 15 NOVEMBER 2015 @ 7:00
AM
Oleh Naqib Nor Said
naqib@bh.com.my SKUAD remaja negara memanfaatkan kelebihan bermain di
gelanggang sendiri apabila meleburkan ego China dengan kemenangan 4-0 pada aksi
pertama Piala Remaja Asia di Stadium Wisma Belia Kuantan, malam tadi. Ketika
semua mata tertumpu kepada dua aset pukulan sudut penalti negara - Shahril
Saabah dan Najmi Farizal Jazlan - pujian seharusnya diberikan kepada Nik Rozemi
Aiman dan Meor Azuan Muhd Hassan yang berjaya menjalankan tugas sebagai
'pusher' dan 'stopper' ketika situasi pukulan itu dengan baik.
Dalam aksi berkenaan, seawal
minit ketiga China sudah mencemaskan benteng negara apabila dihadiahkan pukulan
sudut penalti ekoran kesilapan Najmi Farizal yang terlalu lama menyimpan bola
namun ia gagal disempurnakan Guo Haifeng. Selang lima minit kemudian tiba
giliran Shahril Saabah pula melepaskan peluang melalui pukulan yang sama
apabila bola tolakan padunya hanya menuju ke tengah gawang untuk ditepis keluar
penjaga gol, Ao Zhiwei.
Namun kubu Tembok Besar China
akhirnya roboh apabila Najmi Farizal tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti
yang diperolehi oleh penyerang Azwar Abd Rahman pada minit ke-13 apabila
menolak kencang ke kiri gawang lawan. Tidak cukup dengan itu, Malaysia
menggandakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti ayam tambatannya Shahril
pada minit ke-20 selepas beberapa kali melepaskan peluang yang terhidang
sepanjang 20 minit pertama.
Bersambung babak kedua, Haziq
Samsul menyumbat gol padang yang dinanti-nantikan untuk meletakkan Skuad Projek
2016 selesa 3-0 di depan pada minit ke-44 sebelum Najmi memastikan kemenangan
mutlak buat skuad bimbingan Arul Selvaraj apabila menyumbat gol keempat
pasukan. Sementara itu, bekas finalis edisi 2012 Pakistan mudah mengatasi
Bangladesh 3-1 dalam saingan Kumpulan B manakala Korea Selatan pula menjinakkan
Oman 5-2 untuk muncul pendahulu kumpulan. Gol Pakistan dijaringkan Ali Mubashar
menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-29 sebelum jaringan padang oleh
Qadir Muhammad (m-39) dan Riaz Rana (m-70) memastikan kemenangan itu, manakala
gol saguhati Bangladesh disumbat Hossain Sabbir (m-32). Keputusan Kumpulan A
Malaysia 4 China 0 Kumpulan B Korea Selatan 5 Oman 2 Pakistan 3 Bangladesh 1
SUMBER:
http://www.bharian.com.my/node/97041
No comments:
Post a Comment