08 November 2015 12:03 AM
KUCHING 7 Nov. – Sebuah gua
dipercayai berusia lebih enam juta tahun ditemukan penjelajah gua dari Britain
di sekitar Taman Negara Mulu, Miri pada 15 Oktober lalu.
Jarak gua tersebut terletak
kira-kira 15 kilometer atau lebih kurang dua jam berjalan meredah laluan yang
berceranggah dari pejabat Taman Negara Mulu, Miri.
Penemuan unik terbaharu itu
telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada majlis Makan
Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-12 Sarawak Forestry Corporation (SFC) semalam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif
SFC, Wong Ting Chung, penemuan itu oleh warga Britain, Andy Avis selepas
melakukan penjelajahan di kawasan taman negara tersebut sejak 1978.
Katanya, gua seluas 3.5
kilometer itu diberikan nama sebagai ‘Conviction Cave’ atau Gua Yakin yang mana
menjadi amalan di seluruh dunia bahawa orang yang menemukan sesebuah gua diberi
keistimewaan memberi nama kepadanya.
“Gua ini sangat istimewa
disebabkan pembentukan lapisan batu kapurnya dan usia gua ini ditentukan
berdasarkan lapisan itu.
“Tidak cukup dengan itu, belum
ada sesiapa yang pernah memasuki gua ini, malah masyarakat setempat pun tidak
tahu tentang kewujudannya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini
hari ini.
Mengulas lanjut, Ting Chung
berkata, gua itu tidak pernah terusik sejak lebih enam juta tahun lalu, jadi
penemuannya adalah sangat penting.
“Gua ini sangat penting dari
segi saintifik kerana terdapat pembentukan batu kapur berbentuk menegak dan
tajam di dalamnya serta ada satu lubang besar lebih 100 meter luasnya,” ujarnya.
Sementara itu, Adenan
memberitahu, gua baru itu bakal muncul sebagai tarikan pelancongan terbaharu di
Sarawak.
“Gua ini adalah sebahagian
daripada rangkaian Gua Mulu, selain Gulu Rusa dan Gua Air Jernih di kawasan
taman negara itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment