SABTU 28.11.2015
KHAMIS, 26 NOVEMBER 2015 @ 7:49
PM Chong Wei di ranking ketiga dunia -
BWF CHONG Wei berada di landasan tepat
untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas
menduduki ranking ketiga dunia. - Foto Goh Thean Howe KUALA LUMPUR: Jaguh
badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berada di landasan tepat untuk layak
beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas menduduki
ranking ketiga dunia, demikian menurut ranking Persekutuan Badminton Dunia
(BWF) yang dikeluarkan hari ini. Kedudukan Chong Wei dalam ranking dunia
melonjak selepas pemain nombor satu Malaysia itu meraih tiga gelaran
berturut-turut di Terbuka Perancis, China dan Hong Kong, baru-baru ini. Chong
Wei kembali beraksi pada kejohanan kompetitif Jun lepas, selepas menjalani
penggantungan selama lapan bulan oleh BWF kerana kesalahan doping. Berikutan
itu, ranking beliau jatuh merudum daripada pemain nombor satu dunia kepada
kedudukan ke-180. Mengulas pencapaian itu, Pengarah Teknikal Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berkata ranking Chong Wei naik
mendadak daripada kedudukan ke-180 kepada ketiga dunia, dalam tempoh kurang
enam bulan. "Chong Wei menampilkan prestasi mengagumkan...ia pencapaian
yang hebat kerana beliau menjuarai tiga kejohanan berturut-turut.
"Kejayaannya baik untuk badminton negara. Jangkaan saya tepat...sejak hari
pertama berada di sini, saya percaya Chong Wei mampu melakukannya," kata
Frost di sini, hari ini. Frost ditemui pemberita ketika hadir menyaksikan
Kejohanan Badminton Remaja Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri
Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) 2015 di Arena Sukan Sentosa di sini, hari
ini. Mengenai jurulatih perseorangan lelaki negara, Frost berkata pada masa
ini, beliau tidak dapat mengumumkan senarai nama jurulatih berkenaan, namun
mereka terdiri daripada jurulatih tempatan dan asing bagi membimbing pemain
kebangsaan. "Saya belum berbincang dengan Chong Wei mengenai jurulatih
perseorangan... seperti yang saya katakan, terdapat pilihan dalam senarai jurulatih.
Saya berharap dapat memilih jurulatih perseorangan menjelang akhir Disember
ini," katanya. - BERNAMA
SUMBER :
http://www.bharian.com.my/node/100220
No comments:
Post a Comment