Ad

Friday, 6 November 2015

Harimau ke Jordan awal


FADHILUL IZMEL ISHAK  |  07 November 2015 12:18 AM
Ong Kim Swee (kanan) berharap pemergian skuadnya lebih awal ke
ONG KIM SWEE (kanan) berharap pemergian skuadnya lebih awal ke Jordan akan membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di negara itu, yang dijangka berada pada suhu 20 darjah Celsius pada hari perlawanan dengan Palestin Khamis depan.
KUALA LUMPUR - Pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee yakin perancangannya untuk ke Jordan lebih awal akan membantu skuadnya menyesuaikan diri dengan iklim negara tersebut menjelang perlawanan menentang Palestin dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada Khamis depan.
“Kami pergi ke sana lebih awal untuk sesuaikan diri dengan keada­an cuaca di Jordan. Kita ada masa hampir seminggu untuk melakukannya dan saya yakin pemain boleh menerima perubahan iklim itu dengan baik,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM semalam.
Kim Swee bersama skuadnya berlepas ke Jordan malam tadi. Harimau Malaya akan menentang Palestin dalam aksi dwi kelayakan tersebut di Kompleks Sukan Raja Hussein, Amman.
Mereka sebelum ini dijadualkan bertemu di Stadium Dura di Hebron, Palestin tetapi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin mengumumkan membuat perubahan tempat atas faktor ke­selamatan.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata jadual padat yang terpaksa ditempuh pemain membuatkannya tidak mahu terus memberi tekanan kepada anak-anak buahnya dalam sesi latihan.
“Saya akan melakukan latihan pemulihan terlebih dahulu sebab semua pemain baru selesai menghadapi perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia. Jadi ini juga merupakan salah satu cara untuk mengelakkan pemain daripada mendapat kecede­raan.
“Kecederaan perlu dielakkan daripada terus berlaku terutama­nya dalam kalangan pemain JDT (Johor Darul Ta’zim) sebab selepas beraksi di Tajikistan (untuk perlawanan akhir Piala AFC) tempoh hari mereka pulang ke sini dan terus ber­aksi menentang Perak dalam Piala Malaysia” jelasnya.
Sementara itu, Kim Swee menggugurkan enam pemain daripada senarai asal 23 pemain iaitu Baddrol Bakhtiar (Kedah), Zubir Azmi (Terengganu), Azammuddin Akil (Pahang), Hafiz Kamal (Pahang), S. Kunanlan (JDT) dan Gary Steven Robbat (JDT).
Zubir, Hafiz dan Gary disahkan cedera manakala Baddrol melangsungkan perkahwinan dan Azammuddin menyambut kelahiran anak. Kunanlan pula mengalami kecederaan selepas perlawanan menentang Perak kelmarin.
Sebagai ganti Kim Swee telah memanggil Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor), Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda B), Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang), Ronny Harun (Sarawak), Ahmad Fakri Saarani (Kelantan) dan Fazly Mazlan (JDT).

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-ke-jordan-awal-1.155381#sthash.Qzu1xX1X.dpuf

No comments:

Post a Comment