Ad

Wednesday, 4 November 2015

The Red Warriors harapkan keajaiban

04 November 2015 12:12 AM
 Zahasmi Ismail (kanan) mengharapkan pemain-pemainnya mencipta
Zahasmi Ismail (kanan) mengharapkan pemain-pemainnya mencipta kemenangan ke atas T-Team manakala Felda United sekadar seri dengan Selangor untuk membolehkan mereka layak ke suku akhir Piala Malaysia.
KOTA BHARU – Kelantan berharap tuah menyebelahi mereka untuk melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia apabila menerima kunjungan T-Team dalam perlawanan hidup mati Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.
The Red Warriors, yang menduduki anak tangga tercorot kumpulan, wajib menumpaskan T-Team sambil berharap Felda United tumpas atau seri dengan Selangor dalam satu lagi perlawanan.
Aksi tidak menentu yang ditunjukkan dalam lima perlawanan sebelum ini menyebabkan Kelantan sekadar mencatat satu kemena­ngan, seri dua dan tewas dua kali untuk mengumpul lima mata.
Felda yang berada di tempat ke­dua berkongsi enam mata bersama T-Team, manakala Selangor sudahpun menempah tiket suku akhir lebih awal selaku juara Kumpulan C tanpa mengambil kira apa yang akan berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menegaskan, pemainnya perlu fokus dan bermain bermati-matian untuk memastikan tiga mata berjaya dikutip di depan penyokong sendiri malam ini, sebelum mengharapkan tuah akan membawa mereka ke suku akhir.
“Saya gembira jika pemain dapat mempamerkan semangat juang tinggi esok (hari ini). Mereka mahu main bermati-matian untuk tidak menghampakan penonton dan memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan.
“Semangat inilah yang kita perlukan jika mahu layak ke suku akhir. Saya harap mereka dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Zahasmi memberitahu, biarpun kehilangan tonggak pertahanan, Jonathan McKain akibat penggantungan, namun situasi itu tidak memberikan masalah kepadanya untuk mengukuhkan benteng.
Katanya, dia sudah menemukan pengganti yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan oleh McKain untuk perlawanan itu nanti.
Zahasmi berkata, dia tetap optimis Kelantan mampu melangkah ke suku akhir nanti walaupun di atas kertas peluang tampak tipis dan memerlukan sedikit kejaiban.
Kelantan sebelum ini tewas 3-1 kepada T-Team dalam perlawanan pertama mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 26 September lalu.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/the-i-red-warriors-i-harapkan-keajaiban-1.154182#sthash.8ZPPXq6h.dpuf

No comments:

Post a Comment