Ad

Monday 23 November 2015

Pahang beraksi tanpa Razman

Oleh IKHWAN IDERIS
 
RAZMAN (kanan) tidak diturunkan oleh Pahang yang menerima kunjungan Lions XII di Kuantan malam ini kerana mengalami kecederaan.

PAHANG bakal beraksi tanpa kap­ten pasukan, Razman Roslan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Kehilangan tersebut bagaimanapun bukan alasan bagi jurulatih Zainal Abidin Hassan yang menegaskan, Pahang perlu menang dan pada masa yang sama, tidak memboloskan sebarang gol untuk membawa bekalan selesa ke Si­ngapura pada 28 November ini.

“Perlawanan esok (malam ini) pen­ting bagi kami. Pahang perlu menang dan memanfaatkan peluang bermain di ge­langgang sendiri dan tampil dengan aksi berkualiti. Apa yang penting, jangan benarkan pihak lawan menjaringkan gol.

“Kita perlu mencari bekalan selesa untuk dibawa ke Stadium Jalan Besar bagi menghadapi perlawanan suku akhir kedua,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Razman tercedera sewaktu mewakili negara menentang Palestin di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan pada 12 November lalu yang berkesudahan de­ngan Malaysia dibelasah 6-0.

Beraksi di Kuantan, para penyokong Tok Gajah pastinya mengharapkan barisan serangan Pahang menampilkan corak serangan yang meyakinkan bagi memburu gol sebanyak mungkin.

Perhatian peminat malam ini pastinya tertumpu kepada awang import Tok Gajah yang mendapat jolokan 'orang besi', Dickson Nwakaeme yang telah berulang kali membuktikan kehebatannya di kancah bola sepak tempatan.

Jelas pemain kelahiran Nigeria itu, sebagai penyerang dia akan melakukan yang terbaik demi memastikan Pahang beroleh kemenangan.

“Saya akan melakukan yang terbaik pada perlawanan bertemu Lions untuk membantu pasukan. Sama ada saya menjaringkan gol atau tidak itu perkara kedua, apa yang paling utama ialah kami memperoleh kemenangan.

“Kesemua pemain Pahang perlu me­nunjukkan prestasi sebenar, tidak me­lakukan kesilapan mudah dan bermain sebagai satu pasukan sehingga ke wisel penamat,” katanya.




Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3sMY8pacA Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment