Ad

Sunday 27 June 2021

Denmark ‘pesta gol’ ke suku akhir



KASPER Dolberg berjaya membuka tirai jaringan untuk Denmark dalam pertemuan menentang Wales dalam aksi kalah mati Euro 2020. -AFP

Oleh Meja Sukan

27 Jun 2021, 1:56 am

AMSTERDAM : Denmark muncul pasukan pertama menempah tiket ke suku akhir Euro 2020 selepas menundukkan Wales 4-0 dalam peringkat 16 terbaik di Johan Cruyff Arena, sebentar tadi.

Dalam aksi tersebut, Wales terlebih dahulu mencemaskan penyokong Denmark pada minit ke-10 menerusi rembatan Gareth Bale yang hanya sedikit tersasar daripada tiang gol tatkala penjaga gol, Kasper Schmeichel telah tertewas.

Tersentak dengan serangan itu, Denmark mula mengatur gerakan dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi rembatan menarik penyerangnya, Kasper Dolberg.

Jaringan itu, menambah keyakinan buat para pemain Denmark untuk menguasai bola dan hampir

menggandakan jaringan pada minit terakhir babak pertama namun rembatan Joakim Maehle berjaya ditepis keluar penjaga gol Wales, Danny Ward.

Bermula babak kedua, Dolberg hanya memerlukan tiga minit untuk meledak gol kedua buat Denmark selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Wales, Neco Williams yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya dengan baik.

Begitupun gol itu seakan memberi kesedaran buat Wales yang mula menemui rentak dan merencana serangan lebih teratur ke gawang Denmark namun jentera serangan mereka buntu membolosi pintu gol yang dikawal Schmeichel.

Dua minit sebelum berakhir perlawanan, Maehle mencipta nama sebagai penjaring dengan meledak gol ketiga buat Denmark.

Sebaliknya, nasib malang menimpa Wales apabila pemain tengah mereka dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan daripada belakang terhadap Maehle pada minit ke-90 sekali gus menyaksikan pasukan itu mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain.Derita Wales tidak terhenti di situ, apabila giliran pemain gantian, Martin Braithwaite menjaringkan gol keempat buat Denmark pada masa kecederaan babak kedua sekali gus memastikan kemaraan pasukannya ke suku akhir dengan penuh bergaya.- AGENSI.1

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/denmark-tempah-tiket-suku-akhir/

No comments:

Post a Comment