Ad

Sunday, 27 June 2021

Ujian getir JDT bertemu Pohang Steelers

Rizar Mohd Noor

rizar@mediaprima.com.my



Pemain JDT menjalani latihan menjelang pertembungan menentang Pohang Steelers FC di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers

Johor Bahru: Ujian getir menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila berdepan kelab dari Korea Selatan, Pohang Steelers pada aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, di Bangkok, Thailand, malam esok.

Ketika ini kedua-dua pasukan mengumpul tiga mata dan kelebihan jaringan yang dimiliki JDT meletakkan pasukan itu berada di tangga kedua manakala Pohang Steelers di tangga ketiga kumpulan.

Pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui, barisan pemainnya bakal menempuh aksi yang berliku tatkala skuad bimbingan Kim Gi-dong semestinya ingin bangkit selepas tumpas 0-3 kepada Nagoya Grampus, Jumaat lalu.

Beliau berkata lawan yang bersaing di liga terbaik Asia iaitu Liga Korea 1 (K League 1) memiliki barisan pemain yang baik dan sudah tentu JDT akan berdepan aksi yang sukar seperti menentang Nagoya Grampus dan Ratchaburi FC.

"Kami buat perancangan taktikal yang rapi dan sedar ia perlawanan sukar kerana bukan sahaja JDT mahukan tiga mata tapi pasukan lawan juga berazam bangkit selepas tewas kepada Nagoya (Grampus).

"Kami juga perlu bersiap sedia dengan corak permainan agresif bagi mengimbangi kekuatan lawan kerana pengalaman menentang Gyeongnam FC dua musim lalu jelas betapa pemain dari Korea Selatan kerap tampil dengan aksi permainan pantas dan JDT tidak boleh bersikap alpa.

"Apa yang kami lakukan semesti menyambung persiapan untuk berdepan Pohang Steelers kerana mahukan kemenangan kedua. Walaupun aksi yang lepas kami berpeluang menjaringkan gol tapi gagal melakukan penyudah tepat dan berharap ia tidak berulang pada aksi berdepan lawan dari kelab Korea itu," katanya.

Apapun, beberapa pemain skuad Harimau Selatan iaitu Mauricio Dos Santos, Corbin Ong, Leandro Velazquez, Bergson Da Silva, Natxo Insa dan Ariff Aiman Hanafi yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama harus berwaspada selepas mengutip satu kad kuning dan perlu elak daripada di gantung untuk aksi pusingan kedua nanti.

Bagi Mora selepas dua aksi yang diharungi beberapa kelemahan yang dikesan terutama aspek serangan mula diperkemaskan bagi persiapan bagi aksi seterusnya.

Beliau menambah sepanjang dua perlawanan yang diharungi bukan Farizal Marlias beraksi konsisten malah ia membabitkan semua pemain yang beraksi di padang selepas memberi sepenuh komitmen untuk menyaingi pasukan lawan yang memiliki reputasi hebat.

"Apa jua pertandingan, perlu ada sasaran dan pemain juga tahu peranan mereka beraksi di padang dan saya gembira dengan kesungguhan setiap pemain yang diturunkan tidak kira pemain itu dalam kesebelasan utama atau pemain simpanan." kata Mora.

Disiarkan pada: Jun 27, 2021 @ 7:15pm.1

____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723377/ujian-getir-jdt-bertemu-pohang-steelers

No comments:

Post a Comment