Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 29, 2021 @ 2:22pm
zulfaizan@bh.com.my
Safawi (depan) meraikan jaringannya ketika menentang Thailand pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
KUALA LUMPUR: Pemain sayap Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid didakwa mengalami 'over training syndrome (OTS)' atau sindrom terlebih latihan hingga menyebabkan prestasinya semakin merosot.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan OTS adalah sindrom yang memberi kesan kepada tubuh badan atlet dan gangguan hormon menyebabkan mereka gagal memberikan fokus yang diperlukan dalam pertandingan sebenar.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan sindrom itu sedang dialami Safawi dan langkah terbaik untuk memulihkan semula prestasinya adalah memberikan rehat yang cukup.
"Selepas liga (Malaysia) musim lalu dia terus pergi Portugal, berlatih. Selepas tiga bulan dia balik Malaysia, berlatih dan selepas itu bermula liga, dia berlatih lagi.
"Kemudian masuk kelayakan Piala Dunia dia pun berlatih juga, jadi dia tiada kadar rehat yang cukup untuk sistem tubuh dia terutama sistem saraf dan Safawi mungkin melalui proses OTS.
"Ia menyebabkan gangguan neurohormon hingga fokusnya terganggu dan dengan latihan berterusan menyebabkan dia kelesuan walaupun dia mengambil vitamin.
"Badan dia juga tidak boleh bertindak balas dengan baik terhadap latihan yang diberikan walaupun luaran nampak dia bekerja. Kelesuan ini bukan sistem tubuh saja, tapi otak pun lesu kerana sistem saraf dikawal oleh otak.
"Safawi perlukan rehat dan tenangkan fikiran. Sebab itu pemain di Eropah pergi bercuti di pantai ketika tempoh rehat liga. Namun, mereka masih berjoging atau buat latihan ringan untuk kekalkan kecergasan," katanya kepada BH Sukan, semalam.
Safawi yang sebelum ini menjadi tonggak harapan Harimau Malaya dan Harimau Selatan dilihat mengalami kemerosotan prestasi terutama ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan menjadi antara punca prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu merosot.
Namun, BH Sukan semalam melaporkan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan tidak boleh disalahkan kerana yang perlu menyediakan pemain berada pada tahap terbaik adalah tanggungjawab kelab.
Selain itu, Mohd Sadek berpendapat kecederaan yang dialami Safawi sebelum ini juga menyebabkan dia mengalami tekanan tinggi dalam usaha untuk mengembalikan semula prestasi terbaik kerana kesan kecederaan itu.
"Kelab perlu buat kajian, mereka ada psikologi, perubatan dan pakar sains sukan. Maklumat perlu dikumpulkan dan diputuskan barisan kejurulatihan. Kalau dia terus ditekan, itu akan mengganggu mood dia.
"Mungkin dengan memberikan rehat dalam dua atau tiga minggu dapat memulihkan semula keyakinan dan fokus Safawi, serta memulihkan semula sistem neurohormon dia," katanya.1
_____________________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833516/safawi-alami-sindrom-ots
No comments:
Post a Comment