Ad

Sunday, 27 June 2021

'Saya sanggup berniaga tepi jalan'- Khalid Jamlus

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



KHALID mengusahakan gerai daging salai Masak Lomak Cili Api di Lepak Court, Sijangkang. FOTO Asyraf Hamzah

Kuala Lumpur: "Jika ditakdirkan berniaga tepi jalan sekali pun selepas ini tidak menjadi masalah buat saya demi meneruskan kelangsungan hidup kerana inilah nasib tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas bersara daripada arena bola sepak."

Itu penjelasan bekas pemain kebangsaan Khalid Jamlus yang sekali lagi kehilangan punca pendapatan selepas terpaksa menutup perniagaannya di Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat.

Bekas pemain Perak dan Selangor itu berkata, kerugian yang terpaksa ditanggung sejak dua bulan lalu mencecah hampir RM8,000 menyebabkan wang simpanannya ketika ini boleh dikatakan sudah licin dan sukar untuk memperoleh modal pusingan.

Katanya, ketika ini beliau akan melihat alternatif lain untuk memperoleh sumber pendapatan termasuk kemungkinan berniaga di tepi jalan bagi menampung perbelanjaan harian.

"Jika diikutkan bukan sedikit modal yang dikeluarkan iaitu hampir mencecah RM20,000 untuk membuka kedai makan itu namun sekarang ini tiada apa lagi boleh saya lakukan kerana untuk mendapatkan modal pusingan pun agak sukar.

KHALID berkongsi status penutupan gerainya. FOTO Khalid Jamlus

"Perniagaan yang saya usahakan ini adalah hasil titik peluh sendiri sejak Ogos tahun lalu namun apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dua bulan lalu sebelum hari raya Aidilfitri sekali gus pendapatan harian terjejas teruk.

"Bagi saya ini antara cabaran atau rintangan yang perlu dihadapi dan jika ditakdirkan berniaga tepi jalan selepas ini pun tidak menjadi masalah asalkan rezeki yang diperoleh halal," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Malang berganda buat bekas pemain kebangsaan itu apabila sebelum ini terpaksa melepaskan pelbagai koleksi berharganya sepanjang bergelar pemain profesional berikutan kesempitan hidup selepas hampir tiga tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selain jersi dan medal kemenangan, bekas pemain Perak dan Selangor itu menjual trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 ketika membantu skuad Kejor Yob Kejor itu menjuarai saingan Liga Perdana (sekarang dikenali Liga Super) waktu itu.

Terbaharu, Khalid yang mengusahakan gerai daging salai masak lemak tidak dapat meneruskan perniagaannya disebabkan oleh PKP yang memberi kesan ekoran ketiadaan pelanggan.

Disiarkan pada: Jun 28, 2021 @ 1:09pm.1

___________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723640/saya-sanggup-berniaga-tepi-jalan-khalid-jamlus

No comments:

Post a Comment