Jun 27, 2021 @ 8:58pm
Bekas pemain England Wayne Rooney mencadangkan taktikal yang perlu diterapkan Gareth Southgate untuk menundukkan Jerman. - Foto AFP
LONDON: Wayne Rooney percaya Gareth Southgate perlu menggugurkan Jack Grealish daripada kesebelasan utamanya ketika menentang Jerman di Wembley.
The Three Lions akan bertemu Jerman Selasa ini pada aksi 16 terakhir Euro 2020.
Rooney menegaskan, Grealish perlu dimasukkan sebagai pemain gantian bila diperlukan dengan Marcus Rashford memulakan permainan di posisinya.
Walaupun Grealish beraksi cemerlang ketika aksi peringkat kumpulan menentang Republik Czech, Rooney merasakan dia tidak perlu berada dalam kesebelasan utama, begitu juga dengan Phil Foden.
"Walaupun saya sering memuji Jack Grealish, saya tidak akan meletakkannya dalam kesebelasan utama menentang Jerman.
"Dia antara pemain cemerlang ketika menentang Republik Czech dan pendapat saya itu tidak berubah. Pandangan saya sekarang ialah berkenaan corak permainan Jerman.
"Lawan berbeza memerlukan pendekatan berbeza dan perlawanan Selasa ini adalah sesuai untuk Marcus Rashford, bukan Jack.
"Jerman bermain tiga di belakang dan jauh ke depan. Apa mereka cuba lakukan ialah melemaskan anda. Menghantar bola dari sisi ke sisi, membuka permainan, kembali ke tengah dan ke sayap semula, kemudian masuk ke kawasan penalti.
"Apabila anda memenangi bola, mereka mahu anda bermain hantaran pendek kerana mereka boleh memberi tekanan di bahagian atas.
"Lebih ramai pemain mahu mengawal bola, lebih senang mereka memberi tekanan, jadi berbanding dengan Jack, saya akan memilih pemain pantas di kiri dan kanan Harry Kane.
"Saya akan mengarahkan serangan ke bahagian di belakang bek sayap mereka ketika mereka naik ke atas dan membuat larian ke sisi bek tengah mereka - terutama melihat kepada masalah Mats Hummels menangani kepantasan lawan," kata Rooney.
Rooney juga mencadangkan sama ada Raheem Sterling, Bukayo Saka atau Jadon Sancho perlu bermula di sayap satu lagi, dengan Kane menerajui jentera serangan di Wembley.
Rooney sebagai bekas pemain England mempunyai kenangan berdepan Jerman di kejohanan besar, termasuk ketika dibelasah 4-1 di peringkat 16 terakhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
"Mereka (Jerman) adalah lawan paling sukar untuk England - bukan Portugal atau Perancis," katanya. - AGENSI.1
_____________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/832757/euro-rooney-cadang-taktikal-lawan-jerman
No comments:
Post a Comment