Agensi
RONALDO mencampakkan lilitan kapten ketika menuju ke terowong. FOTO Agensi
Seville: Cristiano Ronaldo sukar menerima kegagalan Portugal mara ke suku akhir Euro 2020. Juara bertahan itu tewas tipis 0-1 kepada Belgium awal pagi tadi menerusi rembatan kencang Thorgan Hazard pada babak pertama.
Ronaldo menjaringkan lima gol dalam tiga aksi peringkat kumpulan tetapi gagal menambah koleksinya pada saingan 16 terakhir.
Sepakan percuma menarik pemain berusia 36 tahun itu diselamatkan penjaga gol Thibaut Courtois dan Portugal mempunyai beberapa peluang terbaik dengan Raphael Guerreiro nyaris mendapatkan gol penyamaan tetapi sedikit tersasar.
Kekecewaan Ronaldo jelas dapat dilihat sejurus tamat perlawanan apabila dia melemparkan lilitan kapten sebelum menendangnya.
Seorang lelaki mengambilnya semula ketika bintang Juventus itu menuju terowong. Insiden turut sama dilakukan Ronaldo ketika Portugal seri 2-2 dengan Serbia pada aksi kelayakan Piala Dunia pada Mac lalu.
Pengendali Portugal Fernando Santos berkata: "Ada pemain yang menangis dalam bilik persalinan. Mereka memberikan segalanya. Belgium miliki enam percubaan tetapi kami 29.
"Kami percaya jika kami menang hari ini, kami akan menang aksi seterusnya. Mereka mendapatkan gol, kami tidak. Itulah bola sepak.''
Hasrat Ronaldo untuk mencipta rekod baharu jaringan terbanyak antarabangsa tidak kesampaian dan tumpuan kini menjurus sama ada dia akan terus bermain musim depan ketika masa depannya bersama Juventus masih samar.1
___________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723543/ronaldo-kecewa-campak-lilitan-kapten
No comments:
Post a Comment