Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 30, 2021 @ 1:30pm
zulfaizan@bh.com.my
Khalid Ali (kiri) dan Safawi Rasid.
KUALA LUMPUR: Usah biarkan Safawi Rasid tenggelam!
Itu luahan yang cuba disampaikan legenda bola sepak negara, Khalid Ali selepas dia meminta kemerosotan prestasi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu segera dipulihkan.
Menganggap Safawi memiliki kelebihan seakan sama dengan bintang dunia, Lionel Messi, Khalid yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan Safawi memerlukan jurulatih dan pakar psikologi untuk memulihkan semula prestasinya.
Katanya, Safawi memerlukan satu program yang betul dan jurulatih perlu mengkaji segala kekuatan dimilikinya bagi memastikan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu lebih mantap dalam semua aspek termasuk tahap kecergasan.
"Kelemahan Safawi adalah untuk bermain penuh 90 minit. Jika kecergasan dia berada pada tahap terbaik sepenuhnya iaitu boleh beri komitmen 90 minit dalam sesuatu perlawanan, saya rasa dia memang tidak boleh digugat dan boleh dikatakan dia antara pemain terbaik di Asia.
"Dia masih pemain sayap terbaik di Malaysia dan saya tak nampak kecacatan pada diri Safawi. Tapi tiada orang yang nak keluarkan (kelebihan) dia. Messi boleh dikatakan agak perlahan juga, tapi kekuatan dia adalah berlari dengan bola dan itulah Safawi.
"Jurulatih kena kaji, maksudnya Safawi bukan pemain yang boleh bermain seperti pemain lain iaitu berlari satu padang. Dia main macam Messi, Messi boleh dikatakan bermain dalam satu zon yang mana apabila dia dapat peluang dia akan terus bergerak ke depan dan inilah Safawi," katanya kepada BH Sukan.
Kemerosotan prestasi Safawi menjadi perhatian terutama selepas pulih dari kecederaan yang dialami pada Mac lalu dengan dia dilihat gagal memberikan impak besar buat skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.
Mengulas lanjut, Khalid mengakui Safawi memerlukan masa dan bantuan untuk mengembalikan semula prestasinya kepada tahap terbaik.
"Sebenarnya Safawi ini mudah kecewa, dia bukan main tak bagus. Dia kecewa bila dia buat tak jadi, itu kena ada satu jurulatih dan psikologi untuk membetulkan cara dia.
"Kalau di liga tempatan memang keyakinan dia tinggi, letaklah dia menentang Terengganu, Selangor atau sebagainya dia memang yakin. Cuma tahap keyakinan dia untuk aksi antarabangsa tidak sampai lagi.
"Macam saya dulu bermain di posisi pertahan kanan, lepas itu (jurulatih Harimau Malaya) Karl-Heinz Weigang letak saya main penyerang dan tengah, saya tak boleh tapi dia asah saya sampai saya menjadi pemain yang boleh dikatakan terbaik dalam kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya.1
______________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833897/khalid-gesa-pulihkan-segera-messi-malaysia
No comments:
Post a Comment