Agensi
REAKSI Ronaldo selepas tamat perlawanan menentang Belgium. FOTO AFP
Lisbon: Cristiano Ronaldo menegaskan juara Eropah Portugal akan kembali lebih gagah selepas tewas kepada Belgium.
Misi Portugal mempertahankan gelaran dimusnahkan ledakan Thorgan Hazard awal pagi semalam ketika skuad Fernando Santos tewas 0-1 pada pusingan kedua.
Selecao hanya menang sekali daripada empat aksi Euro 2020, rekod paling buruk mereka dalam satu Kejohanan Eropah sejak kali pertama tampil pada 1984 (juga satu kemenangan).
Sejumlah 23 percubaan dilakukan Portugal ketika menentang Belgium adalah yang paling banyak bagi pasukan di Euro 2020 tanpa sebarang gol dengan empat daripadanya dilakukan Ronaldo.
Walaupun tersingkir awal di peringkat kalah mati, bintang Juventus Ronaldo tetap bangga dengan rakan sepasukan dan meramalkan masa depan yang cerah kepada pemenang Euro 2016 dan Liga Negara-Negara 2019 itu.
"Kami tidak dapat keputusan yang dimahukan dan kami pulang lebih awal daripada sepatutnya,'' kata Ronaldo dalam Instagram.
"Tetapi kami bangga dengan perjalanan kami, kami beri apa sahaja untuk mempertahankan trofi dan kumpulan ini masih mampu memberikan kegembiraan kepada rakyat Portugal.
"Penyokong kami memberikan sokongan padu, kami amat menghargainya. Tahniah kepada Belgium dan semoga berjaya kepada pasukan lain dalam kejohanan ini.
"Kami pula akan kembali lebih kuat pada masa akan datang.''
Skuad Santos akan kembali ke pentas antarabangsa pada September depan dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Republik Ireland manakala Belgium akan menentang Itali pada suku akhir Sabtu ini.
Lagi berita berkaitan Euro 2020
Disiarkan pada: Jun 29, 2021 @ 9:10am.1
____________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724021/portugal-kembali-lebih-gagah-ronaldo
No comments:
Post a Comment