AKSI Luqman Hakim Shamsudin ketika diturunkan dalam perlawanan persahabatan.
Oleh THAQIB SHAKER
28 Jun 2021, 2:00 pm
PETALING JAYA: Biarpun tidak banyak beraksi dalam liga utama bersama KV Kortrijk, penyerang remaja Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin makin mendapat tempat di hati peminat bola sepak kelab Belgium itu ekoran aksi cemerlang ditampilkan dalam beberapa perlawanan persahabatan.
Rabu lalu, Luqman yang dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan pasukan KRC Harelbeke untuk membantu pasukannya melakar kemenangan besar 5-0.
Jaringan terakhir terhasil apabila Luqman dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-86 untuk menghadiahkan penalti buat Kortrijk.
“Kami sangat teruja Luqman menyertai kelab kami.
“Dia pemain muda yang memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan di sini. Pemain di sini lebih sukar dari sudut teknikal,” kata Maxim de jode yang turut juga admin media sosial peminat Kortrijk, Kvkortrijkfans kepada Utusan Malaysia.
De Jode, 21, yang menyaksikan latihan Luqman setiap hari kerana tempat kerjanya Sportfacility terletak bersebelahan dengan stadium mengakui, Luqman, 19, sangat terkenal di Kortrijk kerana penangan penyokong Malaysia yang aktif di media sosial.
“Ketika dia masuk sebagai pemain gantian menentang KRC Harelbeke, dia telah mempamer permainan luar biasa sehingga peminat mula menyanyikan lagu untuknya,” katanya.
Luqman turut dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Kortrijk menumpaskan Westhoek 3-0, Sabtu lalu.
Seorang lagi peminat tegar Kortrijk, Pieter Verrode, 65, bersetuju Luqman semakin disayangi di Kortirjk.
“Anda tidak boleh membenci pemain pemalu seperti dia (Luqman),” katanya yang meminati KV Kortrijk sejak 32 tahun lalu.
Bagaimanapun Verrode mengakui, Luqman perlu bekerja lebih keras kerana belum mencapai tahap yang diperlukan untuk bersaing dalam skuad utama.
“Kadang-kadang saya pergi menonton latihan dan saya dapat melihat Luqman bekerja keras untuk menjadi pemain pasukan pertama. Kini, Covid-19 hampir hilang dan pasukan bawah 21 (B-21) akan mula bermain lagi.
“Saya rasa dia pasti akan memulakan kariernya di sana. Mereka akan bermain pada Isnin, jika Luqman melakukan yang terbaik, dia berhak berada di kesebelasan utama atau paling tidak di bangku simpanan sebagai supersub,” katanya.
Luqman meledak gol pertamanya bersama pasukan skuad B-21 KV Kortrijk ketika menentang KRC Gent pada Ogos, 2020 lepas dan membuat satu penampilan sulung dalam liga utama musim lalu ketika menentang Anderlecht, Oktober lalu.1
_______________________________________________
1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/luqie-makin-disayangi-di-kortrijk/
No comments:
Post a Comment