Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 28, 2021 @ 9:56pm
zulfaizan@bh.com.my
JDT sangkal perlu bertanggungjawab susulan prestasi hambar Safawi.
KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menyangkal dakwaan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail bahawa kelab itu perlu bertanggungjawab atas aksi hambar Safawi Rasid.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini, menjelaskan Safawi menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya.
Beliau berkata, Safawi mengalami kecederaan pada 13 Mac dan hanya kembali berada dalam kesebelasan utama pada 16 April, tetapi masih dalam proses pemulihan hingga ke tahap sepenuhnya.
"Secara keseluruhan, Safawi menjaringkan dua gol, melakukan lima permulaan, tiga kali beraksi dari bangku simpanan dan bermain 364 minit sebelum 'international break'.
"Untuk mengatakan bahawa intensiti latihan sepenuhnya merupakan tanggungjawab kelab adalah tidak tepat kerana kem latihan yang panjang oleh pasukan kebangsaan di mana pemain berada di sana dari 16 Mei hingga 16 Jun.
"Perjalanan pemulihan dan kembali ke intensiti tinggi Safawi masih lagi berjalan sebelum 'international break'. Safawi hanya kembali ke JDT seminggu sebelum Liga Juara-Juara AFC, terbang terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu.
"Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang," katanya.
Jamal dalam laporan BH Sukan, hari ini dilaporkan berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan tidak harus dipersalahkan atas kemerosotan prestasi Safawi.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menganggap prestasi Safawi merosot kerana latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan.
Jamal, bagaimanapun menjelaskan perkara berkaitan seperti intensiti latihan dan tahap kecergasan pemain adalah tanggungjawab kelab pemain itu.1
___________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833283/jdt-berkeras-harimau-malaya-perlu-bertanggungjawab
No comments:
Post a Comment