Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PRESTASI Safawi menurun sejak kebelakangan ini. FOTO Johor Southern Tigers
Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menemplak pengurusan skuad Harimau Malaya apabila kelabnya terpaksa menanggung kecederaan dan prestasi pemain dek kerana latihan yang tidak mencapai intensiti yang sepatutnya.
Seramai 13 pemain JDT berada dalam skuad kebangsaan selama hampir sebulan pada pertengahan Mei lalu bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bagaimanapun sebaik pemain pulang ke pangkuan skuad Harimau Selatan minggu lalu, beberapa tonggak utama pasukan seperti Safawi Rasid dilihat masih gagal mencapai tahap sebenar dan ia terserlah pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang sedang berlangsung ketika ini di Bangkok, Thailand.
Lantas, ramai pihak terutamanya penyokong tidak senang dengan prestasi Safawi yang hilang sentuhannya apabila gagal memberi impak yang diharapkan.
Begitupun, Tunku Ismail tampil mempertahankan anak buahnya itu apabila menyalahkan skuad kebangsaan yang gagal menyediakan Safawi di tahap terbaik dan menyifatkan anak didik Tan Cheng Hoe seolah pergi bercuti dan bukannya berlatih di UAE.
"Lepas pulang daripada Portugal dia (Safawi) menjaringkan gol. Aksi pertama sumbangsih dah jaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan. Pulih dari kecederaan dia jaringkan gol lagi.
"Belum 100 peratus pulih jurulatih (Cheng Hoe) ambik untuk Harimau Malaya. Sesi latihan yang intensiti rendah. Sampai sekarang 'down'.
"Sekarang kami kena 'repair' dia macam kami kena 'repair setiap pemain kebangsaan yang dapat panggilan yang pergi berlatih macam pergi bercuti," katanya yang membalas kritikan netizen di laman Instagram semalam.
Sebelum ini, Tunku Ismail secara terbuka menawarkan diri untuk menguruskan skuad Harimau Malaya selepas kecewa dengan prestasi tidak memuaskan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia di UAE.
Antara bentuk perubahan yang mungkin di bawa Tunku Ismail dalam pasukan adalah melantik jurulatih baharu, menyediakan fasiliti latihan terbaik serta memanggil pemain yang benar-benar bersedia untuk menyarung jersi negara.Malaysia sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketiga di belakang UAE dan Vietnam yang muncul juara dan naib juara Kumpulan G sekaligus menempah slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan layak automatik ke Piala Asia.
Skuad negara tidak layak ke Piala Dunia namun masih berpeluang merebut tiket ke Piala Asia apabila bakal bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia pada Februari tahun depan.Disiarkan pada: Jun 26, 2021 @ 12:57pm.1
_________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722843/tunku-ismail-tampil-pertahan-safawi
No comments:
Post a Comment