WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Disember 2013
Sungai Jeram tercemar
Ketua Kampung Buluh Nipis, Yusri Lohing, menunjukkan seekor ikan yang berjaya
ditangkapnya di sungai Jeram.
BUKIT IBAM – Penduduk
Kampung Buluh Nipis, di sini, gempar dengan penemuan ikan-ikan di Sungai Jeram
yang seperti sudah tidak bermaya dan boleh ditangkap dengan senang serta
keadaan air sungai yang berwarna kemerahan.
Keadaan sungai yang kotor
dan penemuan ikan-ikan yang tidak bermaya itu disedari ketika beberapa orang
penduduk termasuk Tok Batinnya, Mohsonie Hassan, 42, pergi melihat jaring ikan
yang ditahan di sungai tersebut.
Menurut Mohsonie, pada
pagi Sabtu lalu ketika pergi menahan jaring dengan rakan-rakannya, keadaan air
sungai masih lagi seperti biasa dan tiada kelihatan ikan-ikan yang tidak
bermaya itu.
“Waktu tengahari Sabtu
itu, saya dengan rakan yang lain pergi ke sungai untuk melihat ada atau tidak
ikan yang lekat di jaring, kami terkejut kerana melihat air telah berubah
menjadi keruh seakan berwarna merah semacam bercampur dengan lumpur.
“Tambah mengejutkan kami,
banyak ikan yang pelbagai jenis dan saiz di sungai ini yang timbul dalam
keadaan tidak bermaya berhampiran dengan tebing sungai,” katanya kepada Sinar
Harian.
Menurutnya, ikan-ikan yang
timbul di permukaan air itu seperti sukar untuk bernafas dan begitu mudah
ditangkap.
“Kami cuba menangkap
ikan-ikan tersebut dan ia begitu senang kerana tidak ia lari. Selepas
ditangkap, kami lihat insang ikan tersebut dipenuhi dengan lumpur.
“Antara ikan-ikan yang
ditemui dan ditangkap oleh penduduk seperti ikan tapah, belida, kaloi, baung,
udang serta banyak lagi,” katanya.
Dalam pada itu, oleh sebab
bimbang dengan keadaan air sungai dan penemuan ikan yang tidak bermaya itu,
Mohsonie telah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
“Sebelum ini pernah jadi
sebanyak dua kali tetapi tidak seteruk ini, saya telah lapor kepada pihak yang
berkenaan supaya dapat menjalankan siasatan mengenai punca berlakunya
pencemaran begini. Ada penduduk mendakwa terdapat bau diesel pada badan ikan
yang ditangkap.
“Dua orang wakil dari
Unit Perikanan Darat, Jabatan Perikanan
Pahang telah pun datang membuat siasatan semalam dan memaklumkan bahawa
siasatan awal mendapati air sungai memang tercemar,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar juga telah maklum akan
kejadian ini tetapi setakat ini (tengahari semalam) masih belum datang menyiasat.
SUMBER RUJUKAN SINAR
HARIAN ONLINE ;30.12.13
No comments:
Post a Comment