30 Disember 2013
Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - [KEMASKINI]
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 langkah bagi
mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian
menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari.
Tindakan itu adalah
selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih
berhemah pada tahun depan, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini
hari ini.
Beliau berkata keputusan
itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata kerajaan
juga akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi
pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.
Selain itu, kemudahan tol
pegawai kanan kerajaan gred itu juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga
RM100 atau sebanyak 30 peratus, katanya dalam kenyataan dua muka surat itu.
Najib berkata kerajaan
juga akan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi
penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke
bawah ialah Kelas Ekonomi.
Selain itu, kerajaan juga
akan mengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian,
jabatan, agensi dan premis kerajaan, selain membekukan permohonan baharu bagi
pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.
Perdana menteri berkata
kerajaan juga memutuskan untuk mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada
bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.
Najib, yang juga Menteri
Kewangan berkata kerajaan juga akan mengetatkan pelantikan juru perunding untuk
projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian
kebolehlaksanaan.
Beliau berkata cadangan
pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang
Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua
Setiausaha Negara untuk
kelulusan.
Kerajaan juga akan
mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau 'event management' serta
pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan
atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat
awam, katanya.
Najib berkata kerajaan
juga akan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan
penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan,
seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.
Kerajaan juga akan
mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan
mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan
di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar
dan bengkel, katanya. - Bernama
SUMBER RUJUKAN SINAR
HARIAN ONLINE ;30.12.13
No comments:
Post a Comment