Ad

Friday, 27 December 2013

United bernasib baik

London: Juara bertahan Manchester United terpaksa mengharapkan gol jaringan sendiri pemain Hull City James Chester untuk bangkit mencipta kemenangan 3-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium KC malam tadi.

Biarpun ketinggalan dua gol awal, skuad kendalian David Moyes itu yang turut kehilangan Antonio Valencia yang dibuang padang pada lewat permainan boleh menarik nafas lega apabila masih mampu memungut tiga mata yang cukup berharga untuk terus mengejar pasukan teratas liga.



Hull pantas mendapat rentak apabila selesa mendahului 2-0 dalam tempoh 13 minit pertama dalam perlawanan awal aksi Boxing Day malam tadi apabila membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan Chester seawal minit ke-4.

Skuad kendalian bekas pemain United itu Steve Bruce kemudian menghasilkan gol kedua apabila David Meyler menewaskan penjaga gawang pasukan pelawat David De Gea menerusi rembatan kaki kanan dalam kotak penalti.

Foto
ROONEY (tengah) jaring gol kedua United.


Bagaimanapun kedudukan berubah apabila Red Devils menyumbat gol pertama selepas pemain pertahanan Chris Smalling menanduk masuk bola hantaran penyerang antarabangsa England Wayne Rooney pada minit ke-19.


Gol itu membakar semangat anak buah David Moyes yang menduduki tangga ke-8 dan ketinggalan lapan mata dengan pendahulu Liverpool sebelum turun beraksi malam tadi apabila menyamakan kedudukan menerusi percubaan Rooney pada minit ke-26 untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 2-2.

Bersambung babak kedua, skuad The Tigers kecewa apabila tandukan Alex Bruce pada minit ke-63 dinafikan palang gol selepas menerima sepakan sudut Tom Huddlestone.

Kekecewaan penyokong tuan rumah bertambah apabila Chester menghadiahkan gol kepada United apabila dia tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola lintang Ashley Young dari sebelah kanan pada minit ke-66.

United kemudian teruk diasak Hull di penghujung permainan khususnya selepas Valencia diarahkan keluar padang kerana menerima dua kad kuning namun mereka ampuh bertahan dan seharusnya berterima kasih kepada De Gea yang menyelamatkan percubaan Chester pada masa kecederaan.- Agensi


MYMETRO ONLINE : 2013/12/27

No comments:

Post a Comment