Oleh Hafizahril Hamid
BANGUNAN baru di tapak asal kejadian serangan Bukit Kepong yang kini dijadikan muzium mini.
SEJARAH negara bukanlah sesuatu yang boleh ditukar ganti sesuka hati. Walaupun pahit sesuatu kebenaran namun kerana ia adalah fakta maka itulah kenyataan yang harus diterima.
Ia juga bukanlah sesuatu yang boleh menjadi galang ganti semata-mata untuk kepentingan politik dangkal mana-mana pihak. Walau apa pun cerita yang cuba disampaikan namun yang pasti kebenaran akan tetap terserlah jua.
Begitulah hakikatnya bila kita membicarakan perjuangan komunis di tanah air ini kerana walau apa pun versi yang cuba dinyatakan namun kita seharusnya tidak boleh terpedaya bahawa perjuangan mereka itu adalah untuk kebenaran.
Tersilap
Mungkin ada segelintir antara mereka yang tersilap memilih jalan dalam menyatakan kebencian terhadap penjajah dengan menyertai komunis sebagai jalan perjuangan. Ada kalanya kesilapan memilih itulah yang akan memakan diri dan mereka terpaksa menerima akibatnya.
Memang komunis adalah antara satu daripada beberapa pilihan yang ada dalam usaha masyarakat negara ini untuk mendapatkan kemerdekaan.
Namun syukur kita kepada Tuhan bahawa majoriti rakyat negara ini telah membuat keputusan yang betul kerana tidak memihak kepada wadah perjuangan mereka.
Jika tidak pastinya sejarah negara ini mungkin tidak ada bezanya dengan negara-negara seperti Vietnam, Kemboja, Korea Utara, China dan banyak lagi yang terpaksa hidup dalam keadaan sangat mundur dan penuh ranjau hanya kerana memilih ideologi yang salah.
Tepat
Dengan runtuhnya Soviet Union sebagai 'kiblat' komunisme pada tahun 1991, maka terbukti bahawa rakyat dan kerajaan yang dilantik mereka telah membuat keputusan yang tepat dalam memilih haluan politik negara.
Kita boleh saksikan sendiri bagaimana keamanan dan kemakmuran telah menjadi tunjang kepada kejayaan negara selama ini dalam menjayakan apa yang semua kita nikmati selama ini.
Tetapi jika masih ada pihak yang mahu menyatakan bahawa komunis itu adalah antara sebahagian daripada wira negara dalam perjuangan kemerdekaan, itu adalah sesuatu yang sangat menyedihkan. Atas alasan apa kita perlu menerima perjuangan komunis sebagai sesuatu yang murni walhal hasrat sebenar mereka adalah juga untuk menakluk negara ini.
Entah di mana kesilapan mereka ini dalam merungkai erti dan fakta sejarah negara kerana yang pasti hakikat dan kebenaran mengenai pejuang dan wira sebenar negara tidak boleh ditukar ganti hanya kerana kedangkalan sesetengah pihak memenuhi serakah politik mereka.
Sejarah komunis di negara ini bermula dengan penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1930. Namun hubungan komunis dengan penduduk keturunan Cina di negara ini mula dikesan pada tahun 1925 dengan Singapura menjadi pangkalan penyebaran ideologi ini.
Membentuk
Penyebaran ini mendapat tempat di kalangan kesatuan sekerja berikutan tindakan majikan yang tidak mesra pekerja. Ketika kedatangan Jepun, PKM membentuk Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk berperang dengan mereka. Penubuhan MPAJA pada 1942 disokong oleh British yang mahu bekerjasama dengan PKM dalam menentang Jepun.
Malangnya MPAJA adalah sebuah gerakan bersenjata yang ditubuhkan bukan bertujuan untuk mempertahankan Tanah Melayu sebagai tanah air. Ia kerana sentimen anti Jepun kaum Cina yang berakar umbi sejak konflik China-Jepun dan kerana layanan buruk tentera Jepun terhadap kaum Cina.
Maka apabila Jepun menyerah kalah, MPAJA mula keluar dari hutan dan bersikap kejam dengan mengambilalih pemerintahan Tanah Melayu selama empat belas hari dan seterusnya melakukan huru-hara selama lebih tiga bulan. Mereka melakukan keganasan dan kezaliman serta bertindak menawan beberapa balai polis selain membunuh ramai anggota keselamatan serta orang awam.
Menentang
Anggota PKM ini terdiri daripada mereka yang masuk dalam hutan dengan tujuan mahu menubuhkan negara republik komunis. Dari tahun 1948 hingga 1952, mereka ini berada di dalam hutan dan menentang kerajaan dengan membunuh polis serta pasukan keselamatan.
PKM melakukan serangan terhadap pasukan polis yang keseluruhannya terdiri daripada orang-orang Melayu selain pemimpin-pemimpin kampung dan orang-orang Cina yang dicap sebagai pembelot. Boleh dikatakan antara tahun 1947-1948 tentera Malaya dan polis masih lemah dan tidak cukup kelengkapan. Bagaimanapun bermula pada tahun 1950, kekuatan polis semakin bertambah baik dan cukup latihan mengakibatkan PKM semakin lemah.
Bukit Kepong
Kejadian Bukit Kepong menunjukkan salah satu petanda kekejaman komunis yang berlaku di kawasan balai polis Bukit Kepong yang terletak di tebing sungai Muar, Johor. Peristiwa ini berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan anggota PKM daripada Kompeni Ke-4.
Ketika serangan ke atas balai tersebut berlaku, Sarjan Jamil Mohd Shah merupakan ketua balai dengan dibantu platun campuran 14 anggota Polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin
Pasukan ini diperkuatkan lagi dengan tiga Konstabel Polis Khas dan empat Polis Bantuan bagi tugas mengawal menjadikan 22 orang anggota kesemuanya. Anggota keluarga mereka yang terdiri seramai tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di bahagian belakang balai.
Yakin
Kejadian ini dipercayai bermula pada pukul 4.30 pagi apabila pihak komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Kumpulan komunis ini dipercayai seramai 180 orang, bertindak mengepung balai polis tersebut di segenap sudut dengan kebanyakan mereka tertumpu di bahagian hadapan.
Dengan kemampuan senjata mereka yang kesemuanya automatik berbanding polis Bukit Kepong yang hanya memiliki dua senjata automatik serta jumlah anggota yang sedikit, ia umpama langit dan bumi. Apatah lagi dengan kedudukan balai berkenaan yang terletak jauh di kawasan terpencil selain sistem perhubungan yang sukar, pihak komunis dipercayai menyerang balai tersebut kerana yakin kemenangan besar di pihak mereka.
Diketuai oleh seorang komunis Melayu bernama Muhammad Indera, bagaimana pun pertempuran tersebut berlaku sengit dan mengambil masa lebih empat jam tanpa seorang anggota polis pun yang menyerah kalah. Kejadian ini berakhir dengan begitu tragis sekali yang hampir membunuh kesemua pegawai polis selain isteri dan anak-anak mereka.
Bagaimanapun semangat dan keazaman yang ditunjukkan Allahyarham Sarjan Jamil yang berpegang pada prinsip "biar putih tulang jangan putih mata" dan anggotanya begitu mengagumkan kerana tetap enggan menyerah kalah sehingga ke titisan darah terakhir. Walaupun tiga kali trompet dibunyikan pihak komunis menandakan meminta mereka menyerah, mereka enggan tunduk dan akhirnya satu persatu gugur. Lebih membanggakan perjuangan diteruskan oleh isteri-isteri polis yang masih bertahan.
Gugur
Pengakhirannya komunis telah bertindak membakar balai polis tersebut serta berek kelamin mengakibatkan isteri anggota dan anak-anak mereka hangus terbakar. Pihak komunis turut bertindak kejam dengan mencampakkan mereka yang cedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar, anak kepada Konstabel Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup ke dalam api.
Seramai 27 orang terkorban termasuk 14 anggota polis, lima polis bantuan, empat isteri dan empat anak anggota polis terbunuh akibat kekejaman komunis pada hari tersebut. Manakala mereka yang terselamat dalam pertempuran maut itu terdiri daripada empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.
Peristiwa Bukit Kepong ini sesungguhnya telah membuktikan bagaimana kekejaman komunis adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan semangat serta keberanian mereka yang terkorban sehingga titisan darah terakhir menjadi batu sempadan bahawa komunis bukannya tergolong sebagai pejuang kemerdekaan.
RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2011&dt=0911&pub=utusan_malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz2oeFUG000 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment