APAKAH kedudukan zakat dan
cukai di dalam Islam? Bagaimanakah perspektif cukai pada zaman dahulu dan
apakah sewajarnya sikap umat Islam di Malaysia, khususnya dalam mendepani
situasi zakat dan cukai ini? Harap penjelasan.
Jawapan:
Alhamdulillah,
mudah-mudahan jawapan yang disediakan ini mampu memberikan kelegaan kepada kita
dalam meraikan kedua-dua perkara, zakat dan cukai ini. Apatah lagi menjelangnya
bulan Disember, umat Islam wajar sedar bahawa tarikh untuk mendapatkan rebat ke
atas cukai pendapatan melalui zakat yang ditunaikan juga kian berakhir.
Zakat adalah rukun Islam.
Ia adalah ketetapan yang mutlak (qatie). Cukai pula perkara baharu, ia
mendatang sifatnya dan hanya bersifat ijtihadi. Zaman dahulu, umat Islam hanya
diwajibkan menunaikan zakat, tidak diwajibkan membayar cukai. Manakala,
orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; maka mereka
dikenakan cukai.
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan
sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka
dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik)
terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah: 277)
Oleh itu, interaksi umat
Islam dan zakat adalah amat intim. Tidak sempurna keislaman seseorang tanpa
menerima adanya zakat. Menolak zakat sebagai elemen syariat, membawa kepada
kekufuran di sisi Allah SWT. Orang yang kufur atau murtad, wajib kembali kepada
Islam, menerima kefarduan zakat dan tunduk patuh kepada hukum-hakam yang telah
ditetapkan Allah SWT.
Ketinggian zakat
Di samping itu, tindakan
segelintir manusia yang menyamakan zakat sebagai elemen cukai dalam Islam juga
merupakan suatu kesalahan. Zaman silam, seperti mana pernah dikupas di dalam
kitab tafsir, ada orang Islam yang telah menyamakan zakat sebagai cukai dan
akibatnya mereka dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Maka, keimanan seseorang
Muslim itu tertakluk kepada keimanannya kepada zakat. Zakat mesti diyakini,
difahami dan diamalkan. Tanpa zakat, seluruh keimanannya akan tertolak. Inilah
ketinggian zakat di sisi umat Islam.
Atas nama menjaga
ketinggian itu jugalah, Abu Bakar as-Siddiq pernah bertegas dalam hal ini saat
mendepani sikap segelintir umat Islam yang enggan menyerahkan zakat kepadanya
setelah kewafatan Rasulullah. Kata Abu Bakar: âœAkan aku perangi orang-orang
yang enggan menyerahkan zakatnya kepadaku, sebagaimana dahulunya mereka
menyerahkan zakat kepada Rasulullah SAW.â
Namun, sejarah juga
menyaksikan betapa Islam tidak menolak sistem cukai secara total. Ini kerana,
Islam bukanlah sebuah agama paksaan kepada semua orang. Allah SWT menegaskan,
hanya yang menerima Islam sahaja wajib tunduk kepada zakat. Maka, bagaimana
pula bagi mereka yang tidak menganuti Islam tetapi mendapat ketenteraman di
dalam sebuah negara Islam? Apakah sumbangan mereka?
Maka, lewat zaman
keagungan Islam lebih 1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW telah menerima
sistem cukai ini, iaitu jizyah (cukai individu) dan kharaj (cukai tanah) yang
berbentuk cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang mendapat
perlindungan di dalam negara Islam (disebut kafir zimmi).
Tidak membebankan
Cukai-cukai ini
sebenarnya, menjadi sebahagian daripada mekanisme menambah pendapatan negara
demi kebaikan seluruh rakyat. Ia juga seiring dengan zakat yang dikenakan ke
atas umat Islam. Kadar jizyah dan kharaj juga tidak banyak bezanya dengan
zakat, yakni tidak membebankan.
Di dalam kitab Al-Amwal
oleh Abu Ubaid, beliau meriwayatkan daripada az-Zuhri yang mengatakan: âœRasulullah SAW menerima jizyah daripada orang Majusi Bahrain.â Az-Zuhri menambah lagi: âœSiapa sahaja di antara
mereka yang memeluk Islam, maka keIslamannya diterima dan keselamatan diri dan
hartanya akan dilindungi melainkan tanah. Kerana tanah tersebut adalah
tanah faiâ™ (rampasan) bagi kaum muslimin, kerana orang itu tidak menyerah diri sejak
awal, sehinggalah dia terlindungi.â Maksudnya
sehingga mereka di lindungi oleh kaum Muslimin.
Rasionalnya, zakat tidak boleh
dikenakan kepada golongan bukan Islam kerana mereka tidak mempunyai cukup
syarat, iaitu mesti beragama Islam untuk menunaikan zakat. Namun, mereka tetap
perlu memberikan sumbangan kepada negara melalui jizyah atau kharaj kepada
pemerintah negara. Menurut Mohammad Assad di dalam bukunya, Islam at the
Crossroads, konsep zakat dan jizyah ini adalah sama, iaitu sebagai sumbangan
kepada negara.
Perkembangan negara Islam,
khususnya pasca kewafatan Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq, amat
memberangsangkan. Umar al-Khattab r.a telah berjaya mengembangkan Islam
sehingga ke luar perbatasan sempadan tanah Semenanjung Arab dan menyaksikan
banyak juga negara yang menerima ketuanan dan mengiktiraf Islam, tetapi mereka
masih enggan memeluk Islam.
Maka, lahirlah beberapa
jenis cukai lain dan pemerintah Islam meraikan perkembangan itu. Misalnya,
cukai usyur telah diperkenalkan bagi mengutip cukai ke atas kapal-kapal milik
pedagang bukan Islam yang menjalankan perniagaan di negara Islam. Begitu juga
dengan cukai kharaj yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang
bukan Islam yang mengerjakan tanah atau pertanian, ia semakin meluas
dilaksanakan.
Nota: Jawapan disediakan
oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat
Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan boleh diemailkan kepada
hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari www.e-zakat.com.my atau
http://blog.e-zakat.com.my/ untuk maklumat lanjut.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131227/ba_02/Zakat-bukan-cukai#ixzz2p4WSRoxI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment