Oleh NORAZLINA ISMAIL
SEMBILAN tahun lalu, Banda Aceh
pernah digegarkan dengan gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter yang
kemudiannya disusuli dengan badaian ombak ganas tsunami setinggi 30 meter
meranapkan wilayah itu hingga menjadi 'padang jarak padang terkukur'.
Ramai yang beranggapan
peristiwa 'tidak disangka' itu merupakan bencana alam pertama dan terburuk yang
pernah melanda Aceh dan beberapa lagi negara di rantau ini sehingga meragut
lebih 286,000 nyawa.
Ini kerana, sebelum ini tidak
ada maklumat sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis yang boleh membantu
orang ramai untuk memahami risiko kewujudan bencana itu di wilayah berkenaan.
Tsunami sebenarnya berasal
daripada perkataan Jepun 'Tsu' bermaksud pelabuhan, manakala 'Nami' membawa
maksud gelombang dan jika digabung, kedua-dua perkataan itu membawa maksud
'Gelombang Pelabuhan'.
Namun, penemuan sebuah gua di
Lhong, Aceh oleh sekumpulan penyelidik pada tahun 2011 telah menghasilkan satu
teori baharu mengenai kejadian tsunami di wilayah itu.
Berdasarkan penemuan terbaharu
itu, para penyelidik mendapati kejadian tsunami di Aceh pada 26 Disember 2004
bukanlah yang pertama di wilayah berkenaan.
Buktinya, gua yang ditemukan
itu dipercayai adalah kesan badaian tsunami purba yang pernah berlaku kira-kira
7,500 tahun lalu di wilayah sama.
Ketua penyelidik agensi
Pemantau Bumi Singapura, Charles Rubin, berkata, kali terakhir tsunami melanda
perairan itu adalah kira-kira 2,800 tahun lalu.
Beliau juga memberitahu, kajian
mendapati, empat lagi tsunami telah berlaku dalam tempoh 500 tahun sebelum ini.
Gua batu kapur tersebut
dikatakan terletak beberapa ratus meter sahaja dari kawasan perairan Banda Aceh
dan terlindung daripada ribut dan angin kencang.
Kajian fizikal yang dijalankan
penyelidik juga mendapati, dasar gua itu mengandungi pasir dan bahan-bahan
hakisan yang dibawa oleh ombak sejak ribuan tahun dahulu.
Dalam pada itu, analisis radio
karbon yang dilakukan ke atas bahan-bahan tersebut termasuk cengkerang,
organisma laut, dan mikroorganisma menunjukkan, sudah 11 kali tsunami berlaku
di perairan itu sebelum kejadian sama berulang pada tahun 2004.
Penyelidik juga tidak menolak
kemungkinan terdapat dua gempa bumi raksasa berlaku di rantau itu sekitar tahun
1393 dan tahun 1450.
"Mesej yang dibawa daripada
penemuan ini adalah kemungkinan besar peristiwa tsunami pada tahun 2004 lalu
akan berulang untuk 500 tahun lagi," katanya ketika membentangkan penemuan
itu pada persidangan American Geophysical Union di San Francisco baru-baru ini.
Indonesia merupakan negara
kepulauan yang terletak di kawasan yang dipanggil Lingkaran Api Pasifik iaitu
kawasan yang sering mengalami ancaman gempa bumi dan letusan gunung berapi.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131230/re_09/Tsunami-purba-pernah-melanda-Aceh-kira-kira-7500-tahun-lalu#ixzz2owXEd31k
© Utusan Melayu (M)Bhd
No comments:
Post a Comment