PUTRAJAYA - Bekas pemain
Persatuan badminton Malaysia (BAM) Tan Chun Seang berjaya mara ke peringkat
akhir Kejohanan Maybank Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir 2013 setelah
menumpaskan penyandang juara, Misbun Ramdan Misbun, semalam.
Chun Seang meraih
kemenangan 18-21, 17-21, 21-19 pada aksi sungguh dramatik bertempat di Kompleks
Kejiranan Presint 11, di sini.
Dia mengakui perlawanan
menentang Misbun Ramdan dari Nusa Mahsuri antara yang paling sengit sepanjang
kejohanan itu berlangsung.
"Saya tidak sangka
saya dapat tumpaskan juara tahun lepas. Perlawanan tersebut mengambil masa
hampir satu jam.
"Dalam set pertama,
saya tewas. Saya fikir saya akan tewas masuk set kedua. Tapi andaian saya itu
salah setelah memenangi set kedua sehingga mengheret ke babak penentuan.
"Ketika di set
penentuan, saya dapat rasa kecergasan saya telah kurang. Tapi saya lihat,
Ramdan seperti tidak penat. Dari situ saya mula terlintas untuk mengubah rentak
permainan saya yang akhirnya berjaya kalahkan dia dengan 21-19. Ia sungguh
sengit," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mengulas aksinya, Chun
Seang menjawab, dia masih boleh membaca corak permainan pemain tempatan dengan
membuat penilaian daripada perlawanan-perlawanan lepas.
"Saya sentiasa
mengikut perkembangan sukan ini semasa saya di luar negara. Saya juga ada
melihat permainan Ramdan dan Chong Wei Feng dalam video rakaman.
"Untuk final esok
(hari ini) bertemu Wei Feng, saya tahu dia memang pemain yang sangat laju dan
tenang. Saya harap, dengan berbekalkan pengalaman sedia ada, saya mampu
menang," katanya.
Sementara itu, turut mara
ke akhir ialah Lim Chiew Sien dan Yang Li Lian dalam saingan perseorangan
wanita, gandingan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Goh V.Shem-Lim Khim Wah bagi
beregu lelaki, Lee Meng Yean-Lim Yin Loo dan Chiow Mei Kuan-Vivian Hoo (beregu
wanita) serta Chan Peng Soon-Lai Pei Jing dan Jian Guo-Lim Yin Loo (beregu
campuran).
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131230/su_06/Chun-Seang-sekat-langkah-Misbun-Ramdan#ixzz2ouNxX7SP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment