Oleh Aziman Rosdi
Kelana Jaya: Jawatankuasa
Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan mereka tidak memberi
cukup masa untuk lapan pegawai dan pemain Kuala Lumpur memfailkan pembelaan
sehingga mereka dijatuhkan hukuman gantung seumur hidup atas kesalahan rasuah
dan mengatur perlawanan pada 20 Disember lalu.
Pengerusi jawatankuasa itu
Datuk Taufek Abd Razak berkata, FAM sudah menyerahkan surat pertuduhan kepada
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa untuk
dimaklumkan kepada semua tertuduh bagi membuat pembelaan dalam masa tujuh hari.
“Kita memanggil Nokman untuk
menerima kertas pertuduhan itu kerana kertas pertuduhan tidak dialamatkan
kepada tertuduh sebaliknya kepada setiausaha bola sepak negeri atau kelab.Tidak timbul masalah (lewat
terima surat) kerana kita sudah serahkan surat kepada setiausaha pasukan
terbabit secara peribadi, tinggal lagi sama ada setiausaha yang lambat
memaklumkan kepada pihak tertuduh dan itu bukan masalah di peringkat FAM.
Mengikut peraturan kita memberikan
tempoh seminggu kepada tertuduh untuk membuat pembelaan,” katanya pada sidang
media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM semalam.
Taufek berkata demikian
berikutan timbul dakwaan lapan pegawai dan pemain Kuala Lumpur termasuk
jurulatih dari Slovakia Stanislav Lieskovsky yang digantung seumur hidup dan
denda RM20,000 tidak mempunyai cukup masa untuk mengemukakan pembelaan kepada
jawatankuasa itu.
Selain Lieskovsky, turut
menerima hukuman berat atas kesalahan rasuah dan mengatur perlawanan adalah
penolong pengurus Rosdi Omar, Shaari Jani (pegawai), Jeremy Danker, Khairul
Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhulah Yunsifar dan Phoo Kai Lun (pemain).
Sementara itu nasib tujuh lagi
pemain skuad Liga Perdana Kuala Lumpur itu yang didakwa atas kesalahan yang
sama bakal diketahui pada 7 Januari selepas jawatankuasa itu hanya sempat
membicarakan dua kes saja membabitkan penjaga gol Azizon Abd Khadir dan pemain
pertahanan kiri Benedict Martin yang memakan masa empat jam.
Baki lima lagi kes membabitkan
Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S
Sivaraj dan Mohammad Amirul Asraf Mohd Nor bakal dibicarakan pada 3 dan 7
Januari.
No comments:
Post a Comment