Ad

Saturday 28 December 2013

Liga Hoki Remaja hilang satu pasukan

 
M. Gobinathan (tengah) bersama Naib Presiden Kanan MHC, Dr. S. Shamala (kiri) dan Pengurus Penajaan Nestle Products (M) Bhd, Ng Ping Loong pada penyerahan penajaan Liga Hoki Remaja MHC-MILO-NSC 2014 di Bukit Jalil, semalam.
KUALA LUMPUR - Hanya sebuah pasukan, SMK Dato Penggawa Barat Pontian menarik diri pada saat akhir daripada Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2014 yang bermula 10 Januari hingga 16 Mac ini, hanya dengan mengumumkannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Gabungan Hoki Malaysia (GHM), M. Gobinathan berkata, pasukan berkenaan hanya mengirim SMS menyatakan tidak dapat menarik diri pagi ini sekali gus meninggalkan 30 pasukan yang bertanding musim depan.

Katanya, jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi memutuskan bentuk tindakan yang akan dikenakan terhadap pasukan itu yang mulanya diletakkan dalam Kumpulan C Divisyen 2 LHRM.

Penarikan diri mereka turut mengakibatkan rombakan jadual perlawanan khususnya kumpulan itu yang turut mengandungi SMK Tunku Besar, SMK Dato Mohd. Taha, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Remaja SSBJ, SMK Dato Bentara Luar Batu Pahat dan Politeknik Johor Bahru.

Kata Gobinathan, format pertandingan liga bawah 19 tahun kali ini turut berwajah baharu dengan menghimpunkan pasukan dalam sekumpulan menurut zon bandar asal mereka seperti tengah, utara dan selatan bagi menjimatkan kos perjalanan bagi perlawanan masing-masing.

"Divisyen 1 mengandungi juara berganda LHRM 2013, SSTMI-Thunderbolts sambil dicabar oleh UniKL Young Guns, Remaja SSKL-MSSWP, Sekolah Tinggi Melaka, Anderson, MBPJ dan Remaja SSTMI dengan ganjaran pemenang liganya ialah RM15,000 dan juara setiap kumpulan Divisyen 2, RM5,000," katanya.

Penganjur juga katanya pada musim depan, akan menamakan Anugerah Pemain Harapan LHRM 2014 bersempena mendiang Chua Boon Huat yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya 1 Ogos lalu, sebagai menghargai sumbangannya dalam arena hoki negara.

Sementara itu, pengurus pasukan SSTMI-Thunderbolts, Adam Izamry Idrus berkata, mereka tidak sesekali akan memandang rendah setiap lawan musim depan sekalipun akan kembali mempertahankan gelaran berganda (liga dan keseluruhan) yang dimenangi berturut-turut sejak 2012.

"Selain bertekad mempertahankannya, kami berharap dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu hoki remaja seperti Firhan Ashari dan Shahril Saabah (produk SSTMI-Thunderbolts) yang membantu Malaysia menduduki tempat keempat Piala Dunia Remaja di New Delhi, baru-baru ini," katanya.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131229/su_04/Liga-Hoki-Remaja-hilang-satu-pasukan#ixzz2oodZtK5E

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment