Fenomena hebat yang
menakjubkan yang menjadi fokus hari ini ialah fenomena yang pernah berlaku di
Korea Selatan seolah-olah ulangan kisah Nabi Musa membelah lautan.
Kejadian laut terbelah
yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea
Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak
berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo.
Bayangkan dalam tempoh
sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini
dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara
sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.
Namun, kejadian moden
belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor
semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang
menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.
Ini menghasilkan laluan
bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga
lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta
besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut
Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah
Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta
Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang
mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa
memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.
Acara itu juga membolehkan
pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan
unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan
tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang
pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik
tradisional serta permainan dram.
Bagi mendapatkan
pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai
boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri
di laluan itu.
Malah, siapa yang mahu
melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik
lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan
rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan
Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan
hasil lautan lain.
“Inilah keajaiban yang
tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan
mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat
hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di
dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik
media tempatan, baru-baru ini.
Hakikatnya, tidak ramai
yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila
seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan
menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.
Namun, seperti juga banyak
kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik
fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau
yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya,
seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba
tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan
membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.
Apabila laut itu terbelah,
ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari
wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita
berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku
dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal
dengan tenang.”
Nama asal daerah itu,
Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’,
bagi mengingati kisah Pong.
Selain di Korea, kejadian
itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi,
menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.
Kisah Nabi Musa belah
samudera
Fenomena laut terbelah dua
bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika
membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman
Firaun, pemerintah Mesir.
Namun begitu, besar
perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah
dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di
Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa
membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan
mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.
Kekejaman Firaun yang
mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa
pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.
Pelarian membawa mereka ke
tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi
habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula
tentera Firaun semakin mendekati.
Namun Allah SWT mempunyai
perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang
beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu
berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular
besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.
Dengan izin-Nya, Laut
Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda
menyeberang dengan selamat.
Firaun dan bala tenteranya
yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke
dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di
tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di
tebing.
Bukti kejadian itu
diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui
beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin
sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar
Nabi Musa.
Katanya, selain roda
kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia
dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah
sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di
Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar
3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.
Apapun, kedua-dua kejadian
itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah
mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.
No comments:
Post a Comment